by Oh! Semput
Malaysia kini sedang meneroka potensi tenaga nuklear sebagai langkah strategik bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga elektrik jangka panjang, selari dengan aspirasi negara untuk beralih kepada tenaga bersih.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, langkah ini digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai 2025.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini bertujuan menangani cabaran ketidaktentuan bekalan dan harga bahan api akibat ketegangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat serta gangguan laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz.

Foto arkib: Bernama
Fadillah berkata, beberapa negara ASEAN juga sedang menilai semula tenaga nuklear dalam strategi kepelbagaian sumber tenaga selain Filipina mensasarkan pembangunan kapasiti nuklear sehingga 4,800 Megawatt menjelang 2050, manakala Vietnam telah memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga nasional.

Foto arkib: AFP
Tambahnya, penilaian semasa merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penyertaan industri tempatan, penglibatan pihak berkepentingan, serta pembangunan modal insan.
Dengan pendekatan berfasa (Milestones Approach) yang digariskan oleh IAEA, Malaysia berusaha memastikan bahawa pembangunan tenaga nuklear bukan sahaja menyokong keselamatan tenaga, tetapi juga mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberi manfaat kepada ekonomi serta masyarakat tempatan.