by Oh! Semput
RAKYAT pastinya dapat melihat bagaimana akrabnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Pakatan Harapan diterajui DAP.
Keakraban itu terserlah melalui penglibatan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama DAP dan duduk semeja bersama Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dalam Persidangan DAP pada 4 Disember lalu.
Bukan itu sahaja, Mahathir juga tidak lagi membenci Kit Siang sebaliknya menyatakan apa yang didakwanya mengenai Penasihat DAP itu sebelum ini hanyalah satu kesilapan.
Semua itu dilakukan Mahathir semata-mata mahu membentuk kerjasama utuh dengan DAP dan Pakatan Harapan demi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetapi apakah usaha dan pengorbanan Mahathir itu berbaloi?
Pada 13 Disember lalu, telah diadakan satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara PPBM dan Pakatan Harapan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor.

Perjanjian persefahaman itu adalah untuk merintis kerjasama antara mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) khususnya untuk mengelak pertandingan banyak penjuru.
Tidak ada pun mengenai penyertaan rasmi PPBM dalam Pakatan Harapan.
Persoalannya, kenapa sekadar kerjasama menghadapi pilihan raya?
Adakah PPBM masih belum dapat menambat hati Pakatan Harapan khususnya DAP?
Melihat kepada kesungguhan Mahathir bersama DAP dan duduk semeja dengan Kit Siang sepatutnya PPBM diterima menyertai Pakatan Harapan.
Adakah masih ada sesuatu yang tidak kena antara mereka? Adakah Pakatan Harapan khususnya DAP masih belum berpuas hati dengan PPBM?
Atau adakah PPBM mempunyai agenda yang belum dicapai parti itu?
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara PPBM dan Pakatan Harapan baru-baru menyatakan PPBM akan terus mengadakan rundingan dengan PAS.

Adakah itu menyebabkan PPBM masih belum mahu mewujudkan hubungan rasmi dengan Pakatan Harapan?
PPBM pastinya mengetahui PAS tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan khususnya DAP dan PAN, jadi atas faktor itu PPBM tidak menyertai pakatan itu secara rasmi.
Adakah PPBM lebih mengharapkan kerjasama rasmi dengan PAS berbanding Pakatan Harapan?
Sama ada PAS sudi bekerjasama dengan PPBM atau tidak sama-samalah dinantikan rundingan seterusnya antara PPBM dan PAS selepas ini.
Jika tidak berhasil, adakah PPBM akan membentuk pakatan rasmi dengan Pakatan Harapan? Tunggu dan lihat.
Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.