by Oh! Semput
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan bahawa pihak masjid menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi urusan pengebumian jenazah seorang lelaki di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, hasil siasatan dan semakan mendapati kelewatan urusan pengebumian itu berpunca daripada kekeliruan waris yang pada awalnya menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada pihak yang tiada hubungan dengan masjid.
Menurut beliau, jenazah berkenaan merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada pukul 6.22 pagi kelmarin.
Difahamkan, waris pada mulanya berurusan dengan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) bagi urusan pengebumian di tanah perkuburan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Bapa arwah hanya menemui pembantu pengurus masjid bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan bersetuju pihak masjid mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian.
“Pihak masjid telah mengeluarkan borang itu selepas menerima daftar kematian asal dan dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu jenazah diuruskan BKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shahzihan berkata, pihak masjid kemudian meminta bantuan polis selepas mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di lokasi pengurusan jenazah.
“Setibanya di tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka, pihak masjid dimaklumkan jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan oleh pihak BKS.
“Berikutan waris terus membawa jenazah tanpa dua dokumen sah, urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan sehingga pihak masjid dihubungi Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang memaklumkan jenazah berada di liang lahad,” katanya.
Menurut beliau, pihak masjid kemudian membawa dokumen sah ke tanah perkuburan bagi membolehkan urusan pengebumian disempurnakan.
Dalam masa sama, JAIS memaklumkan pihak masjid turut mendapati borang permohonan pengebumian yang dikemukakan waris kepada pengurusan kubur adalah palsu.
“Pihak masjid juga mendapati borang permohonan pengebumian dikemukakan waris kepada pengurusan kubur adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat semalam.
“JAIS menafikan kelewatan disebabkan pihak masjid, namun kerana kekeliruan pihak waris dan pihak masjid tiada menuntut bayaran RM1,400 bagi pengurusan jenazah itu,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan urusan pengebumian jenazah berkenaan tertangguh hampir sejam susulan pertikaian mengenai caj pengurusan jenazah oleh pihak pengurusan sebuah masjid.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
JAIS Nafi Masjid Tuntut Bayaran RM1,400, Kelewatan Pengebumian Didakwa Berpunca Daripada Kekeliruan Waris first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.