by Oh! Semput
Tempoh dua tahun selepas menjadi bahan jenaka dan cacian netizen akibat kegagalan menghurai tentang isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika menyertai program Dewi Remaja, si cantik Mawar Rashid konsisten memupuk pengaruh memperkukuhkan kemaraannya dalam bidang lakonan.
Mengakui bukan mudah membina nama di daerah seni yang sudah sekian banyak diwarnai nama-nama hebat, Mawar atau nama lengkapnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid bagaimanapun tidak pernah mengalah mahupun tunduk dengan kritikan umum yang menafikan peluangnya untuk sama-sama bergelumang dalam arena hiburan tanah air.
Sebaliknya, dalam lambakan bakat baharu yang diperdagangkan di gelanggang seni, gadis berusia 22 tahun itu optimis dan selalu bersedia untuk memperbaiki diri bagi menambat hati peminat.
“Saya sedar banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki untuk terus kekal dalam bidang ini. Saya sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kritikan ramai kerana dengan cara sebegitu, barulah saya boleh memperbaiki diri.
“Sebenarnya, kontroversi GST yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak mengajar saya bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Ia juga membakar semangat saya untuk tidak digelar beauty without brain (cantik tetapi tidak berakal),” ujarnya pada sidang akhbar sebuah program baharu, Perang Bibir di The Bee, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terkesan
Dua tahun selepas isu GST, Mawar mengakui masih terkesan dengan insiden tersebut. Wanita muda itu tidak menafikan, isu berkenaan secara tidak langsung melazimkan namanya di bibir khalayak. Sedar sensasi dan populariti segera tidak akan kekal, dia enggan sekadar berpeluk tubuh, menadah dan menyuakan wajah dengan tamparan stereotaip daripada segelintir pihak.
“Orang kenal saya sebagai wanita yang ‘bimbo’ tidak tahu menahu mengenai GST. Di situ, ada positifnya kerana orang tahu siapa saya namun ia tidak harus berterusan begitu. Sehingga kini, setiap kali ditemubual saya masih mudah cemas namun tidak seteruk dahulu.
“Kekurangan tersebut membuatkan saya nekad mendalami ilmu pengetahuan. Sekarang sedang dalam semester akhir pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Management & Science University (MSU).
“Sebenarnya, disebabkan komitmen dalam bidang seni, sudah hampir lima tahun saya berhempas pulas untuk menamatkan pengajian. Kalau tiada aral melintang, saya akan bergraduasi pada tahun depan. Tidak kisah orang nak cakap saya lambat habis belajar sekali pun, yang penting saya perlu tamatkan pengajian,” getus Mawar yang turut mengusahakan perniagaan menjual kanta lekap secara atas talian iaitu Pure Rose Lens di Instagram.
Katanya lagi, dia mahu mengubah persepsi ramai terhadap keterlanjurannya sebelum ini yang memberi refleksi kurang menarik sewaktu kariernya sedang hendak bertatih.
“Saya ingin membuktikan kepada orang ramai saya bukan gadis seperti anggapan mereka. Kadang-kadang kita terperangkap dalam satu keadaan di mana kita sendiri tiada kuasa dan tidak berdaya untuk mengawalnya,” tutur wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu naif.
Tolak cinta lokasi
Bercerita tentang perkembangan karier lakonan, Mawar teruja berkongsi pengalamannya yang baru kali pertama diberikan kepercayaan melakonkan watak utama menerusi drama bersiri berjudul Suamiku Paling Sweet. Drama berkenaan sedang hangat ditayangkan dalam slot Akasia di TV3.
Dijentik persoalan sama ada dia merasakan dirinya layak untuk menanggung peranan utama, Mawar tersenyum tenang. Dia seperti telah bersedia dengan sebarang tanggapan dan kritikan khalayak.
“Soal layak atau tidak, bukan saya yang menentukannya. Hanya penonton yang boleh nampak kemampuan saya. Apa yang saya boleh lakukan adalah buat yang terbaik dan puaskan hati penonton.
“Mulanya, saya berdebar juga menunggu respon orang ramai. Namun, sehingga kini penerimaan daripada peminat amat memberangsangkan. Mungkin sambutan sebegitu hasil pembawaan watak baik, seorang wanita bertudung litup yang saya lakonkan,” katanya.
Bergandingan dengan pelakon Syafiq Kyle dalam drama tersebut, sengaja pemilik nama bunga lambang cinta itu diusik persoalan cinta lokasi yang kerap terjadi kepada banyak artis muda dalam industri. Pantas memintas pertanyaan media, Mawar dengan tegas menyatakan istilah cinta lokasi tidak berlaku dalam kamus hidupnya.
“Saya sedar ada peminat yang taksub dengan sesetengah artis yang bergandingan dalam drama sehingga seperti mahu menjodohkan mereka dalam kehidupan realiti. Saya berharap perkara seperti itu tidak berlaku pada diri sendiri. Lebih baik bersikap profesional di lokasi pengembaraan. Apa yang berlaku di lokasi, biar berakhir di situ,” ujarnya yang tidak menafikan keintiman pelakon dalam naskhah hanya sebahagian strategi promosi.
Menyentuh soal hati, wanita berusia 22 tahun itu cepat-cepat mengakui belum mempunyai teman lelaki istimewa. Pernah mencetuskan kisah sensasi gara-gara penyebaran sekeping gambar berpelukan dengan seorang lelaki sekitar awal 2015, Mawar menegaskan hubungan mereka sudah lama berakhir. Buat masa ini, dia terlalu muda mengenal makna cinta sebenar.
“Saya dan lelaki itu sudah tiada apa-apa hubungan. Saya masih terlalu muda untuk mengejar cinta. Biarlah saya fokus dengan perkara yang sepatutnya dahulu iaitu akademik dan kerjaya.
“Semasa mula masuk ke dunia hiburan dahulu, saya terlalu mentah. Banyak perkara yang saya lakukan tanpa berfikir panjang. Kini saya ingin lebih fokus dengan apa yang saya lakukan dan mahu melupakan kisah lama,” katanya yang bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Assalamualaikum YB.
Baca lagi: Mawar Rashid Selesa Solo