by Oh! Semput
Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd dilaporkan kembali mempertimbangkan rancangan penggabungan yang berpotensi mewujudkan pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Malaysia dari segi nilai pasaran, sekiranya urus niaga itu berjaya dimuktamadkan.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumbernya, Maxis telah meminta beberapa bank dan firma guaman terpilih mengemukakan cadangan untuk dilantik sebagai penasihat bagi kemungkinan penggabungan tersebut. Syarikat telekomunikasi itu juga dilaporkan mungkin memilih penasihatnya dalam masa terdekat.
Bloomberg turut menyatakan kedua-dua pihak kini menunjukkan kesediaan yang lebih tinggi untuk berunding.
Mengulas laporan berkenaan, Maxis tidak menafikan atau mengesahkan kemungkinan penggabungan itu ketika menjawab pertanyaan Bernama.
Namun begitu, syarikat itu mengakui pihaknya sentiasa meneliti sebarang peluang strategik dan kerjasama yang mampu memberikan nilai tambah kepada perniagaan.
“Jika ada sebarang perkembangan korporat yang penting, kami akan mengumumkan sewajarnya kepada pasaran pada masa yang sesuai,” maklum Maxis.
Mengikut maklumat di laman sesawang, Maxis mempunyai modal pasaran kira-kira US$6.7 bilion hingga US$6.9 bilion (RM27.2 bilion hingga RM28.3 bilion) setakat Oktober 2026.
Sementara itu, pemilik U Mobile dilaporkan mungkin menyasarkan penilaian sekurang-kurangnya RM10 bilion bagi urus niaga berkenaan.
Menurut Bloomberg, gabungan kedua-dua syarikat berpotensi mengatasi CelcomDigi Bhd, yang mempunyai permodalan pasaran sekitar RM29 bilion, sekali gus menjadikan syarikat gabungan itu pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama kedua-dua syarikat dikaitkan dengan rancangan penggabungan. Pada 2024, Maxis dilaporkan pernah mempertimbangkan untuk mengambil alih U Mobile dan mengadakan perbincangan awal mengenai perkara itu.
Perbincangan tersebut dilaporkan terhenti pada awal tahun ini berikutan perbezaan pandangan mengenai penilaian syarikat.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai persetujuan penggabungan antara Maxis dengan U Mobile.
{suggest}
Maxis, U Mobile Dilaporkan Pertimbang Semula Rancangan Penggabungan WISER.MY.