by Oh! Semput

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM4.81 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017 untuk terus melabur dalam industri bekalan tenaga elektrik di Malaysia.
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, pelaburan itu sekali gus meningkatkan jumlah aset asas kepada RM137.56 bilion.
“Bagi memastikan keperluan permintaan negara dipenuhi dan keseluruhan keberkesanan, keselamatan dan kebolehpercayaan sistem dikekalkan, kumpulan terus melabur dalam pembangunan industri permintaan elektrik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017, TNB merekodkan keuntungan selepas cukai diselaraskan lebih rendah sebanyak 5.2 peratus kepada RM2.91 bilion berbanding RM3.07 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi terutama peningkatan peruntukan penghutang elektrik.
Perolehan kumpulan pula meningkat 5.8 peratus kepada RM22.4 bilion terutama disebabkan oleh pertumbuhan 2.3 peratus dalam permintaan unit elektrik bagi Semenanjung.
Lembaga Pengarah juga meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak 17 sen sesaham biasa berjumlah RM960 juta.
Sebanyak 68 peratus daripada jumlah itu akan dikembalikan kepada institusi berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan pemegang saham.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, Lembaga Pengarah dan Pengurusan TNB sentiasa mengambil kira cabaran dalam landskap ekonomi global semasa dan mengakui pentingnya sikap berhati-hati dalam mengenal pasti risiko yang berkaitan dengan syarikat.
Oleh itu katanya, kumpulan perlu menyemak semula penghutang sekurang-kurangnya pada se- tiap suku tahun te-rutama berkaitan peng- hutang elektrik, kumpulan haruslah mem- buat penilaian secara proaktif terhadap penghutang individu serta kelemahannya berdasarkan persekitaran operasi semasa.
“Ini telah membawa kepada peningkatan peruntukan penghutang elektrik sepanjang separuh pertama tahun kewangan 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Dalam masa sama, TNB komited dalam mengoptimumkan kecekapan operasi dan meneroka nilai di seluruh kumpulan, dalam kedua-dua perniagaan kawal selia dan tidak dikawal selia,” katanya.
Beliau berkata, bagi perniagaan kawal selia dalam segmen-segmen penghantaran dan pembahagian, TNB terus mencatat prestasi luar biasa pada separuh pertama setanding dengan negara- negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Australia.
Katanya, ia terbukti apabila Sistem Penghantaran Minit merekodkan bawah dua minit manakala Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) mencatat lingkungan 50 minit.
“Bagi perniagaan tidak dikawal selia terutama segmen penjanaan yang beroperasi dalam pasaran kompetitif sepenuhnya, prestasi kami agak setanding dengan peneraju pasaran. Faktor Ketersediaan Loji Penjanaan (EAF) kami mencatatkan peningkatan 0.6 mata peratus pada 89.9 peratus berbanding 89.3 peratus yang direkodkan pada Ogos 2016,” katanya.