by Oh! Semput
Bakal menginjak usia 28 tahun pada tanggal 10 Februari ini, pelakon dan pengacara popular, Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd. Noor terus mekar menjadi seorang wanita yang mampu menjadi inspirasi buat peminat.
Bergelar selebriti yang bukan hanya mempertaruhkan bakat lakonan dan pengacaraan, wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu menjadi teladan ramai dengan kejayaan perniagaan jenama tudung miliknya, Naelofar Hijab.
Bertemu dengan pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot itu pada majlis pelancaran koleksi tudung terbaharunya iaitu Lady Lofa dan Lady Lofa Luxe di Black Box, Publika baru-baru ini, dia turut dikejutkan dengan sambutan ulang tahun ke-28 oleh keluarga dan peminatnya.
“Saya tahu harapan saya ini kedengaran agak klise tapi untuk usia baharu ini, saya ingin selalu mengingatkan diri supaya tidak terlepas perkara-perkara kecil lagi.
“Perkara-perkara kecil yang saya maksudkan adalah seperti membaca lebih banyak buku. Misalnya, sebelum tidur sekurang-kurangnya, saya dapat habiskan satu helai pun sudah mencukupi,” ujarnya yang turut menyatakan hasrat untuk kembali aktif bersenam selepas hampir setahun terlalu sibuk dengan pelbagai urusan kerja.
Menyambung bicara, Neelofa atau mesra disapa sebagai Lofa menerbangkan hasrat mendalam untuk terus memberi inspirasi kepada masyarakat dengan hasil kerjanya.
“Sudah semestinya kalau dipanjangkan usia lagi, saya ingin tinggalkan sesuatu kepada orang ramai. Saya menetapkan azam untuk lebih banyak memberi kepada masyarakat.
“Bukan sahaja dari segi wang ringgit, ia mungkin mencakupi bentuk perkhidmatan, inspirasi dan ilmu pengetahuan,” ujarnya serius.
Mohon ruang
Mengenali Neelofa, bukan sahaja catatan kejayaan yang menjadi tarikan, namun di sebalik kejelitaan wajah, sensasi kisah cintanya tidak pernah kering daripada diperkatakan.
Pengacara program hiburan MeleTOP itu pernah menyatakan kesediaannya untuk menamatkan zaman bujang pada bila-bila masa. Bagaimanapun, dia percaya bahawa urusan jodoh itu adalah ketentuan Ilahi.
Sedikit reda dengan kontroversi percintaan dengan pelakon Fattah Amin, kini berterbangan pula gosip mendakwa Neelofa sedang menjalinkan hubungan bersama seorang jejaka kerabat diraja Selangor seperti dilaporkan sebuah ruangan gosip akhbar tempatan minggu lalu.
Tenang menjawab persoalan tersebut, Neelofa membuka mulut: “Saya tidak menafikan gosip itu. Memang kami berkawan dan bagi saya, dia adalah seorang kawan yang sangat baik.”
Pendek dan ringkas jawapannya, namun pengesahan tersebut membuktikan gosip yang diperkatakan ada kebenaran biarpun tidak semunya benar. Neelofa bagaimanapun bijak dan pantas mengunci keterbukaan, dia enggan terlalu mengulas lanjut tentang perhubungan tersebut kerana sedar kedudukan diri dan lelaki yang dimaksudkan merupakan kerabat diraja.
“Berada dalam kedudukan sebagai selebriti dalam industri dan dia pula daripada kerabat diraja, bukan mudah untuk kami lari daripada andaian dan gosip umum.
“Banyak gosip bertebaran. Saya sendiri sudah bersedia kerana saya masih bujang dan dia juga begitu. Orang akan nampak banyak perkara. Saya sendiri tidak menafikan ada menerima banyak respons tentang hal ini.
“Bagaimanapun, saya mohon kalian faham perasaan saya untuk tidak mengulas cerita-cerita yang tidak benar dan mengiyakan perkara-perkara yang tidak betul,” ujar Neelofa panjang lebar.
Tekanan
Ditebak pertanyaan mengenai kesahihan pernah keluar bersama jejaka tersebut di sebuah hotel mewah di ibu negara dengan ditemani keluarga masing-masing, Bintang Paling Popular 2016 itu enggan memperincikan perkara tersebut.
“Banyak lagi perkara lain yang saya dengar tentang hal itu. Ada yang kata nampak kami di sini dan di situ. Apa yang saya mohon buat masa sekarang adalah berikan sedikit ruang. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan Fattah serta perkara lain.
“Saya juga mohon untuk tidak mendesak saya mengulas lanjut tentang gosip ini. Saya harap anda faham dengan keadaan saya sekarang. Sejak kebelakangan ini, saya dikecam dan dimaki teruk khalayak.
“Hancur hati apabila membaca komen-komen orang berhubung hal ini. Anda semua tidak berada di tempat saya. Saya sudah berusia 28 tahun. Saya mohon diberikan sedikit ruang untuk menjalani hidup yang normal,” pinta pelakon filem Pilot Cafe itu berkali-kali agar diberikan ruang.
Getus Lofa, dia berhak berkawan dengan sesiapa dan menafikan tanggapan segelintir pihak bahawa perhubungan dengan jejaka kerabat diraja itu diaturkan keluarga.
“Saya tidak rasa saya layak untuk menerima tekanan sebegini daripada orang ramai. Dengan siapa saya ingin berkawan, itu adalah hak saya. Anda rasa anda semua cukup bijak untuk menilai sama ada saya harus bercakap tentang hal ini. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kerabat diraja.
“Saya sendiri yang tanggung kesannya. Saya yang menangis dalam bilik seorang diri disebabkan apa yang ditulis dan kritikan orang terhadap saya di sosial media. Semua perkara ini memberikan tekanan kepada saya. Jiwa saya kacau dan saya sendiri tidak mampu untuk menjalani hidup normal seperti orang lain.
“Keluarga saya tidak menyentuh apa-apa tentang hal ini terutama ibu bapa saya. Mereka yakin saya mampu berdepan hal ini dengan baik. Mereka beri ruang secukupnya kepada saya dan tidak pernah mendesak,” tuturnya.
Dijentik persoalan sama ada mengalami dilema berhubung selingkar persoalan hati yang berlaku dalam hidupnya sekarang, Lofa berkata: “Saya terperangkap kerana terlalu berhati-hati dan terlalu takut dengan respons orang luar. Banyak komen yang saya terima bersifat agresif.”
Ujarnya lagi, terlalu banyak perkara telah didedahkan sehingga dia tidak punya ruang menikmati hidup termasuk perhubungan dengan Fattah Amin sebelum ini.
“Saya sudah tujuh tahun dalam industri, namun apabila #Lofattah diperkatakan, saya tidak tahu bagaimana mahu respons. Apa yang berlaku antara saya dan Fattah, biarlah kami sahaja yang tahu dan memilih untuk tidak bercakap lebih tentangnya,” tutupnya yang berharap masyarakat menghormati keputusannya untuk tidak terlalu mendedahkan kisah peribadi.
Baca lagi: Fenomena Kontroversi Fattah Amin, Neelofa dan Tania Hudson