by Oh! Semput

SANDAKAN : Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Sandakan sedang mencari waris kepada dua bayi lelaki, Muhamad Sulaiman Alif dan Aiman Hakim yang kini berada di bawah jagaan jabatan itu.
Pelindung dari jabatan berkenaan, Salbiah Jemon, berkata, waris atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai keluarga bayi itu diminta memaklumkan kepada pihak mereka agar dapat membantu siasatan bagi menjejak waris kedua bayi tersebut.
Menurut Salbiah, kedua bayi yang berumur 6 bulan itu dijumpai orang ramai di hadapan rumah orang awam di dua buah kawasan yang berbeza.
Katanya, Muhamad Sulaiman Alif dijumpai di hadapan rumah orang awam di Check Point, Batu 32, pada jam lebih kurang sembilan malam setelah ditinggalkan pada 25 Jun tahun ini.
Manakala, Aiman Hakim pula dijumpai di hadapan rumah orang awam pada jam 7.30 pagi setelah ditinggalkan di Taman Indah Jaya, Batu 4 pada 12 Jun tahun ini.
“Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu boleh menghubungi saya di talian 089-216494 atau 019-8510005”, katanya. – New Sabah Times, 31 Disember 2016