20 Minit Pegang Plakad `Tuanku, Singgahlah Kedai Kami’, Safia Tarik Perhatian Sultan Pahang Ketika Baginda Melalui Jalan Di Janda Baik

by Oh! Semput


3
SHARES
40
VIEWS
Posted on 15 Jun 2026 10:01:56

BENTONG: Hanya dengan sekeping plakad bertulis ringkas, “Tuanku, singgahlah kedai kami”, seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Safia berjaya mencuri perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda melalui jalan di Janda Baik dekat sini.

Detik istimewa itu dikongsikan ibunya menerusi akaun Threads @ainadilya dan pantas meraih perhatian warganet yang tersentuh dengan keprihatinan baginda terhadap rakyat.

Dalam rakaman berkenaan, Safia dilihat berdiri di tepi jalan sambil memegang plakad yang ditujukan kepada Al-Sultan Abdullah ketika rombongan diraja melalui kawasan tersebut.

Tanpa diduga, Sultan Pahang yang terkenal dengan sifat berjiwa rakyat itu memperlahankan kenderaan rasmi sebelum berkenan berhenti dan singgah seketika di gerai milik keluarga kanak-kanak berkenaan.

Kehadiran baginda nyata menggembirakan Safia dan ahli keluarganya yang tidak menyangka pesanan ringkas pada plakad itu benar-benar mendapat perhatian selepas anak kecil itu menanti di tepi jalan lebih kurang 20 minit.

Lebih menyentuh hati, ibunya turut berkongsi harapan agar Sultan Pahang mendoakan kesejahteraan anaknya yang sedang berdepan cabaran dalam pembelajaran.

“Terima kasih Tuanku singgah kedai kami. Achik Uncle, doakan Safia berjaya dunia dan akhirat. Lancarkan pembelajaran dirinya.

“Safia anak yang baik dan rajin. Dia ada masalah dalam pembelajaran. Doakan dia ye,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Perkongsian itu mengundang reaksi positif daripada netizen yang memuji sifat rendah diri dan keprihatinan Al-Sultan Abdullah yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Ramai turut menitipkan doa agar Safia dipermudahkan urusan pembelajarannya serta membesar menjadi anak yang berjaya dan membanggakan keluarga.

Bagi rakyat Pahang, sifat mesra rakyat yang ditonjolkan Al-Sultan Abdullah bukanlah sesuatu yang asing malah sudah sebati bersama orang negeri ini kerana sifat rajanya dan rakyat berpisah tiada.

Baginda sering dilihat menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang, sama ada di warung kampung, pasar awam mahupun ketika dalam perjalanan rasmi.

Rezeki Safia, detik Sultan Pahang berhenti di gerai kecil keluarganya menjadi kenangan yang hanya bermula hanya dengan keberanian seorang anak kecil mengangkat sekeping plakad dan sebuah harapan yang tulus dari hati. #malaysiagazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts