by Oh! Semput
Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) memperkukuh jaringan antarabangsanya menerusi lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Mauritius.
Delegasi itu diketuai Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd Mutalib bin Abd Gapar, dengan tumpuan kepada kerjasama dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) serta pelaksanaan audit penilaian akhir di pejabat HSBC Mauritius.
Sepanjang lawatan tersebut, MiSHA mengadakan pertemuan dua hala bersama Institution of Occupational Safety and Health Management (IOSHM) yang diterajui Presidennya, Dayanand Kurrumchand OSK.
Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi, perkongsian amalan terbaik serta latihan teknikal KKP merentas pelbagai sektor industri.
Kerjasama itu menjadi antara usaha MiSHA untuk memperluas hubungan antarabangsa dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Dalam pertemuan sama, MiSHA mencadangkan pelantikan IOSHM sebagai rakan strategik rasmi dan panel penilai peringkat negara bagi MiSHA Asia Awards on OSH Principles of Prevention (OSHPoP) edisi tahun hadapan.
Cadangan tersebut melibatkan peranan IOSHM untuk menyaring tiga finalis terbaik dari Mauritius bagi anugerah berkenaan.
Pada masa sama, IOSHM menyatakan hasrat untuk membangunkan platform anugerah KKP peringkat kebangsaan di Mauritius.
Usaha itu dirancang dengan memanfaatkan pengalaman, kepakaran teknikal serta kerangka penilaian yang dibangunkan oleh MiSHA.
Selain pertemuan dua hala, delegasi MiSHA turut menjalankan audit lapangan secara langsung di pejabat HSBC Mauritius.
Audit yang merangkumi 16 kriteria utama itu merupakan sebahagian daripada penilaian akhir calon MiSHA Asia Country Awards 2026.
Menurut Abd Mutalib, dapatan audit tersebut adalah positif dan mencerminkan komitmen tinggi pihak pengurusan dalam menjadikan kesejahteraan pekerja sebagai teras tanggungjawab korporat.
Bagaimanapun, keputusan rasmi penganugerahan masih tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa anugerah MiSHA.
MiSHA Perluas Kerjasama Keselamatan Pekerjaan Ke Mauritius, Jalankan Audit Akhir HSBC first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.