by Oh! Semput

Alor Setar: Seramai 30,725 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di 548 sekolah kebangsaan seluruh negeri Kedah, hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, jumlah itu adalah antara 430,000 murid dan pelajar seluruh negeri yang memulakan sesi persekolahan mereka di 784 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan SK di Kedah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Datin Azuyah Hassan di kelas Tahun Satu SK Mergong di sini, pagi ini.
Ahmad Bashah sebelum itu turut bermesra bersama 171 murid Tahun Satu yang ditempatkan di enam kelas sekolah terbabit.
Sementara itu, mengenai persiapan banjir di negeri ini, beliau berkata pihaknya sudah mengarahkan setiap Pejabat Daerah mengenal pasti pusat pemindahan di daerah masing-masing.
“Malah, agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba sudah membuat persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang.
“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) juga mengenal pasti depot dan stor bekalan makanan yang mencukupi terutama di kawasan-kawasan yang mudah dinaiki air.
“Sekiranya hujan lebat, kawasan pendalaman seperti di Sik, Baling, Padang Terap akan dinaiki air terlebih dahulu, apapun daerah lain kita turut bersedia,” katanya.
Category: Semasa