by Oh! Semput
Permohonan Pas MyKomuter50 akan dibuka mulai 16 November ini menjelang pelaksanaannya pada 1 Disember depan. Pas bulanan bernilai RM50 itu menawarkan perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter terpilih.

Pas MyKomuter50 terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 7 tahun ke atas kecuali pemegang Pas MyRailLife. Pengguna yang layak hanya perlu mengesahkan kelayakan menggunakan MyKad atau MyKid sebelum membuat pembelian. Dengan harga RM50 sebulan, pas berkenaan menawarkan penjimatan ketara kepada pengguna KTM Komuter terutama bagi laluan jarak jauh seperti Tanjung Malim-KL Sentral yang lazimnya melibatkan tambang melebihi RM400 sebulan.
Pas MyKomuter50 ditawarkan menerusi tiga kategori iaitu MyKomuter50 Utara, MyKomuter50 Lembah Klang dan MyKomuter50 Shuttle Selatan yang meliputi rangkaian utama perkhidmatan KTM Komuter di Semenanjung Malaysia. Inisiatif ini merupakan antara langkah yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai.