by Oh! Semput

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. – Foto BERNAMA
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan rakan sejawatnya Datuk Seri Najib Razak akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Dua Hala Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-7 esok.
Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO) dalam satu kenyataan berkata, Lee akan mengunjungi Putrajaya esok bagi Pemukiman Pemimpin itu.
Pemeteraian Perjanjian Dua Hala itu adalah kemuncak kepada perbincangan dua hala intensif sejak Pemukiman Pemimpin 2013, dan kedua-dua pihak mencatat kemajuan baik sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman pada Julai 2016, kata kenyataan itu.
Ia juga mencerminkan komitmen kedua-dua kerajaan terhadap projek itu yang akan meningkatkan kesalinghubungan, mengukuhkan hubungan ekonomi dan mengeratkan hubungan antara rakyat apabila ia siap kelak.
Perjanjian itu akan dimeterai oleh Menteri Penyelaras Singapura bagi Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Lee akan diiringi isteri beliau serta delegasi pegawai-pegawai kanan yang terdiri antaranya termasuklah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, Teo Chee Hean; Menteri Hal Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Grace Fu.
Pemukiman Pemimpin Tahunan itu adalah platform dua hala utama bagi kedua-dua Perdana Menteri untuk merapatkan hubungan dua hala, kata kenyataan itu. – BERNAMA
Category: Semasa