Nilai Kebahagiaan Hairul Azreen

by Oh! Semput


9
SHARES
116
VIEWS
Posted on 13 Feb 2017 01:00:49

hairul azreen
Cover image via @haniszalikha

BUAT pengguna setia laman sosial Instagram pasti akan tertarik melihat telatah comel anak pasangan pelakon Hairul Azreen dan Hanis Zalikha.

Meskipun baru mencecah usia lapan bulan, bayi kecil diberi nama Yusuf Iskandar itu nyata mempunyai pengikut akaun Instagram menghampiri angka sejuta.

Melihat kepada situasi tersebut, ramai beranggapan pasangan merpati dua sejoli itu cuma memanipulasi cahaya mata mereka dengan harapan meraih publisiti percuma.

Pantas menepis tohmahan tersebut, sebagai bapa, Hairul atau nama lengkapnya Hairul Azreen Idris tidak mempunyai agenda tersembunyi atau niat mempergunakan Yusuf demi kepentingan peribadi.

Biarpun kerap kali tindakannya mengundang emosi kurang senang dalam kalangan pengguna laman sosial terutama semasa memuat naik video Yusuf di Instagram, Hairul tidak mempedulikan hal tersebut kerana setiap individu mempunyai ‘paksi’ hidup masing-masing.

“Tidak hanya individu tersebut selebriti atau orang biasa pasti ada pihak berasa kurang senang dengan apa yang kita lakukan kerana ia lumrah kehidupan manusia.

“Bertindak sebagai ketua keluarga dan bapa, saya inginkan sesuatu yang terbaik buat keluarga serta setiap kecaman mahupun kritikan tidak diambil secara serius,” ujar Hairul berhubung pendiriannya.

Teguh berpegang pada prinsip untuk tidak menghiraukan pandangan orang lain, perkara tersebut tidak bermakna pelakon berusia 29 tahun itu bersikap bodoh sombong terhadap setiap nasihat diberikan kepadanya.

Dia tetap bersifat terbuka dalam menerima pandangan dan tunjuk ajar terutama melibatkan penjagaan serta tumbesaran Yusuf yang menjadi tumpuannya 100 peratus.

“Setiap teguran tidak bermakna kritikan sekiranya kita melihat dari sudut positif. Ia sedikit sebanyak dapat membantu mematangkan diri.

“Persekitaran sebegitu tidak hanya mematangkan tetapi memberi kekuatan untuk menempuh kehidupan sebagai bapa dengan lebih bersemangat dan membantu mempelajari perkara baharu terutama dalam soal penjagaan anak,” tutur Hairul yang mengharapkan peminat terhibur menonton paparan kehidupan peribadinya bersama Hanis membesarkan Yusuf menerusi program Hairul & Hanis Junior di saluran Astro Ria (104).

Sisi romantis

Kehadiran Yusuf tidak hanya menjadi pelengkap buat rumah tangga Hairul dan Hanis malah anak kecil itu juga menjadi simbolik cinta antara mereka.

Biarpun, sering membawakan karakter lelaki romantik, dia mengakui sukar mempamerkan sikap sebegitu terhadap insan tersayang sekiranya mereka berkongsi lensa kamera yang sama.

Tidak dinafikan Hairul banyak menerima tawaran untuk bergandingan dengan isteri tercinta, namun dia masih belum bersedia menggalas tanggungjawab tersebut sekali gus menjadi tontonan jutaan penonton.

Baginya perihal rumah tangga biarlah menjadi simpanan peribadi dan ia tidak perlu dicampur-adukkan dengan kerja.

“Kami menerima banyak tawaran untuk berlakon bersama tetapi ia terpaksa ditolak kerana saya berasa kurang selesa untuk berlakon bersama isteri. Saya bimbang penonton akan beranggapan apa yang berlaku di layar kaca sama seperti dunia realiti kami.

“Apabila berlakon dengan isteri sendiri secara tidak langsung ada beberapa tindakan yang sering dilakukan akan terserlah dan itu membuatkan saya berasa kurang selesa,” ujarnya sambil tersenyum.

Meskipun dia mengakui berkongsi layar seni bersama isteri akan menyebabkan dirinya berasa kekok, Hairul tidak menolak untuk menerima tawaran tersebut sekiranya telah bersedia kelak.

Susun atur kerjaya

Selepas mendirikan rumah tangga, kelibat Hairul di kaca televisyen mahupun layar perak seakan-akan sepi sehinggalah muncul menerusi naskhah Dia Semanis Honey dengan membawakan watak sebagai Adam Hazrul.

Bukan kerana tawaran berlakon telah tiada tetapi dia ingin memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan berbanding kerjaya seni.

Bahkan, keputusan tersebut tidak dibantah Hanis malah wanita berusia 27 tahun itu teguh menyokong kehendak suaminya tanpa sebarang keraguan.

Dia kini memberi fokus kepada pengurusan perniagaan tudung jenama Cakenis, pakaian (ma.lead), studio penggambaran (Hello Studio) dan pusat permainan Virtual Realiti (VR) (Captain VR) di Ipoh, Perak dan Pulau Pinang. Selain itu, dia juga merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan Captain VR di Kedah.

Kesibukan Hairul menguruskan perniagaan menyebabkan kelibatnya di kaca televisyen semakin menghilang daripada radar berbanding di media sosial.

Tidak meletakkan kesibukan menguruskan perniagaan sebagai sebab utama dia memperlahankan aktiviti seni kerana dia turut sibuk membantu Hanis membesarkan Yusuf.

Meletakkan keinginan untuk meluangkan masa sepenuhnya bersama Yusuf, dia mahu merasai pengalaman membesarkan anak serta mengenal erti pengorbanan orang tua terhadap anak-anak.

“Selain sibuk menguruskan perniagaan dan keluarga, saya memasang niat untuk mengehadkan kemunculan di kaca televisyen tetapi tidak meletakkan sasaran kuantiti naskhah yang akan dilakukan dalam tempoh setahun.

“Bergantung kepada tawaran watak dan skrip, tambahan industri hiburan hari ini semakin rancak diserikan kehadiran pelakon baharu, justeru tidak salah beri peluang kepada mereka,” kata Hairul yang bakal sibuk menjalani penggambaran drama rantaian Papa Nak Menantu di saluran TV3.

Filem Pak Pong

Terus bercerita mengenai naskhah baharu lakonannya, Hairul tampak gembira sewaktu hadir ke majlis pra-tonton filem Pak Pong di Encorp Strand Mall, Damansara, Petaling Jaya.

Setelah hampir lima tahun menyimpan hasrat untuk menyaksikan diri sebagai teraju utama, impian Hairul akhirnya bakal terlaksana apabila filem bercorak aksi fantasi tersebut akan ditayangkan mulai 23 Februari ini.

Mengharapkan sambutan positif daripada peminat, filem berkisar tentang seorang lelaki bernama Muda lakonan Hairul yang telah memasuki dunia bunian secara tidak sengaja.

Pengembaraannya bermula apabila Muda diminta oleh raja bunian agar membantu negaranya menentang musuh yang diketuai oleh Gragos (Shawal AF5) selain menerima ancaman daripada abangnya sendiri, Kadek (Badrul dan Fauzi Nawawi).

Teruja diberi peluang membintangi filem pertama arahan pelakon popular, Fauzi Nawawi, dia tidak dapat melupakan pengalaman beraksi dengan menggunakan skrin hijau dan teknik janaan komputer (CGI).

“Saya hanya melakonkan aksi berdasarkan arahan pengarah dan imaginasi sendiri. Selain itu, saya tidak mendapat sebarang gambaran mengenai apa yang akan berlaku apabila menggunakan CGI.

“Filem ini bukan sebuah karya fantasi biasa tetapi ia mempunyai babak aksi dan pengajaran agar tidak terlalu mengikut nafsu dalam membuat keputusan,” jelasnya yang tidak sabar menantikan sambutan penonton terhadap filem tersebut.

Selain Hairul, ia turut dilakonkan Siti Saleha, Datuk Eizlan Yusuf, Kaza, Rahim Sepahtu, Ember Chia, Jasmin Hamid, Saiful Apek, Lisdawati, Pais, Joey Joras, Awan Ceplos dan Acong Sweet Child.

Marsha Milan, Allahyarham Maimon Talib, Tawil, Izreen Azminda, Zulkifli Ismail, Bell Ngasri, Koyeng, Sathia, dan Nur Risteena turut terlibat dalam filem itu.

Baca lagi: ‘Baby Bump’ Hanis Zalikha

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts