by Oh! Semput
Oleh Mohamed Farid Noh
BATU PAHAT: Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dicalonkan untuk merebut jawatan Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel yang akan berlangsung di London, United Kingdom minggu depan.
Pertandingan berkenaan diadakan sempena Persidangan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) yang ke-62 mulai 11 sehingga 17 Disember ini membabitkan semua negara anggota Komanwel.
Noraini yang juga calon tunggal dari Asia akan bertanding menentang calon dari Kanada dan New Zealand.
Noraini berkata, beliau dicalonkan wakil Uganda yang juga penyandang jawatan Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel, Rebecca Kadaga dan pencalonannya disokong perwakilan Singapura.
Katanya, beliau terharu dengan kepercayaan rakan Ahli Parlimen Wanita Komanwel yang lain sehingga mencalonkannya bagi merebut jawatan berkenaan.
“Saya akan ke London bagi menghadiri persidangan CPA esok sekali gus menyertai pemilihan sebagai wakil tunggal Asia.
“Sebelum ini saya memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) manakala Pertubuhan Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP) adalah badan gabungan bernaung di bawah CPA.
“Jawatan pengerusi CWP dipilih setiap tiga tahun sekali dengan pemilihan dibuat dengan cara undian membabitkan semua perwakilan ahli CWP.
“Fungsi CWP antara lain adalah untuk mengukuh serta meningkatkan penyertaan wanita anggota Komanwel sebagai wakil kerajaan dan masyarakat yang berkaliber, efektif dan berketrampilan di negara masing-masing,” katanya selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah Parlimen Parit Sulong di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat, dekat sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Category: Semasa