by Oh! Semput
Lembaga pengarah NVIDIA memulakan siasatan ke atas CEO syarikat Jensen Huang selepas beliau mengaku mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang didakwa seorang perisik untuk China. Huang menghantar memo kepada semua kakitangan awal pagi tadi mengakui kesalahan beliau melakukan hubungan sulit walaupun sudahpun berkahwin.
Satu jawatankuasa bebas bersama penasihat undang-undang luar akan menjalankan siasatan terhadap laporan bahawa Jensen Huang, menjadi sasaran operasi perisikan asing. Pada masa yang sama, lembaga menyatakan mereka masih mempunyai keyakinan terhadap Huang dan beliau memberi kerjasama penuh. Walaupun lembaga pengarah tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa keselamatan negara mahupun rahsia NVIDIA telah terjejas, siasatan akan meneliti semua maklumat yang tersedia.

Pengakuan dilakukan Huang selepas muncul laporan wanita tersebut, Alice Huang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana dipercayai bekerja sebagai perisik bagi pihak Kementerian Keselamatan Negara China. Alice Huang seorang warga negara China adalah bekas eksekutif kepada syarikat Megaspeed yang berpangkalan di China.
Tahun lalu Megaspeed terlibat dengan skandal penyeludupan cip dan perkakasan pusat data ke China menerusi Malaysia yang dipercayai untuk kegunaan Ali Baba. Sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) terkini Amerika Syarikat ke China dilakukan oleh pentadbiran Presiden Biden sebagai usaha mengekang kemampuan teknologi negara tersebut.
Selepas kegiatan penyeludupan berjaya dihidu, MITI segera mengeluarkan permit khas untuk eksport serta transit perkakasan pusat data mengandungi cip Amerika di Malaysia. Hujung bulan lalu Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas cip AI bernilai kira-kira RM49.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Rampasan tersebut melumpuhkan percubaan sindiket penyeludupan semikonduktor berprestasi tinggi yang disyaki menggunakan Malaysia sebagai hab transit.