by Oh! Semput
New Zealand 12 Dis. – Satu objek ganjil yang dipenuhi teritip ditemukan terdampar di pantai Muriwai, Auckland dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat.
Objek berkenaan ditemukan oleh seorang wanita, Melissa Doubleday yang kemudian memuat naik gambar tersebut dalam laman sesawang masyarakat kawasan Muriwai dan Waimauku.
“Hanya ingin kepastian jika ada sesiapa yang tahu mengenai objek ini yang terdampar di pantai Muriwai,” soal Doubleday.
Menurut wanita itu, dia ternampak objek berkenaan terdampar di pantai ketika sedang memandu melalui kawasan berkenaan.
“Objek itu kelihatan seperti cacing yang dipenuhi kulit kerang yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” katanya yang disiarkan oleh laman web msn.com.
Doubleday memberitahu stuff.co.nz bahawa pada mulanya dia menyangkakan objek itu ikan paus yang dihanyutkan ombak namun objek itu kelihatan ganjil.
Misteri sebenar objek itu menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial dengan andaian sama ada objek itu merupakan sebahagian daripada bahan seni atau bangkai kapal.
Seorang pengguna internet, Nick Vitasovich membuat andaian objek itu adalah raksasa laut, manakala Kathleen Kerr berkata, kemungkinan objek berkenaan adalah kapsul masa makhluk asing.
Namun ada juga yang mengatakan objek itu adalah kayu hanyut yang dipenuhi teritip.
Walau bagaimanapun sejak kejadian gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda New Zealand pada bulan lalu, pelbagai objek pelik dijumpai terdampar di pantai.