by Oh! Semput
NVIDIA telah memperkenalkan platform cip pemprosesan NVIDIA RTX Spark mereka pada pertengahan tahun ini sebagai platform pembangunan perisian dan juga perkhidmatan AI dan gaming semua-dalam-satu. Ini termasuklah pelbagai jenis tugasan pengaturcaraan, pembangunan perisian, pembelajaran mesin, pemprosesan inferens AI dan juga memainkan permainan-permainan komputer yang popular.

Kami telah diberi peluang untuk menguji sendiri kemampuan cip pemprosesan NVIDIA RTX Spark N1X oleh ASUS Malaysia, yang telah menghantar komputer riba RTX Spark pertama mereka, iaitu ASUS ProArt P14 untuk melihat dan menilai sendiri apa yang boleh dilakukan oleh komputer riba ini.
Dari segi rekaan, komputer riba ASUS ProArt P14 ini tampil dengan rupa minimalis, sama seperti banyak penawaran komputer dibawah sub-jenama ini sebelumnya. Rangka keseluruhan diperbuat dari logam aluminum yang tampil dalam warna Nano Black dan Neo White. ASUS Malaysia telah menghantar pilihan warna Neo White kepada kami.

ASUS ProArt P14 tampil dengan paparan skrin sesentuh OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2880×1800 pixel dan kadar segar semula 120Hz. Paparan ini tampil dengan kemampuan untuk mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan delta kejituan warna E<1 dan mempunyai nilai kecerahan 500 nits yang boleh naik setinggi 1600 nits untuk kandungan video HDR.

Seperti yang dikatakan, komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan NVIDIA RTX Spark N1X yang menggabungkan cip pemprosesan Arm yang dibina oleh MediaTek dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA Blackwell yang terdiri daripada 6144 teras CUDA, 48 teras ray-tracing dan 192 teras tensor. Cip ini juga hadir dengan memori LPDDR5X sebanyak 128GB terbina yang dikongsikan diantara komputer dan cip grafik.


Dari segi sokongan palam pula, ASUS ProArt P14 dan P16 tampil dengan tiga palam USB 4.0 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad SD Express 7.0. Komputer riba ini juga dimuatkan dengan sokongan untuk teknologi sambungan nirwayar WiFi7 dan juga Bluetooth 5.4.

Untuk ketahanan bateri, kedua-dua komputer riba ini dimuatkan dengan bateri 99WHr yang boleh bertahan untuk beberapa jam dengan penggunaan pemprosesan perkomputeran dan AI secara penuh. Komputer riba ini juga didatangkan dengan bongkah pengecasan 140W dengan kabel pengecasan USB Type-C yang boleh menampung pengacasan setinggi 240W.
Seperti yang dikatakan, komputer riba ASUS ProArt P14 dan juga platform NVIDIA RTX Spark N1X dibina untuk digunakan oleh pengaturcara dan pembangun perkhidmatan dan teknologi AI sebagai cara untuk membangunkan teknologi tersebut tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan model bahasaraya awanan yang memerlukan token, yakni perbelanjaan wang yang banyak untuknya.

NVIDIA mengatakan bahawa cip pemprosesan ini tampil dengan kemampuan pemprosesan 1 Petabyte dan boleh menggerakkan model bahasaraya AI dengan 120 bilion parameter secara terus pada komputer riba. Memori LPDDR5X 128GB terbina membolehkan komputer riba ini digunakan sebagai peranti pembangunan ataupun komputer untuk perkhidmatan AI sendiri dengan kos sebuah komputer riba sahaja.
Apabila anda mula menggunakan komputer riba ini, anda akan diberi pilihan untuk memasang salah satu daripada tiga rangka kerja ejen AI yang disokong, termasuklah Hermes, OpenClaw dan Perplexity. Anda boleh juga memilih untuk memasang rangka kerja lain, tetapi tiga model ini adalah apa yang ditawarkan secara lalai melalui ASUS ProArt P14 ini.

Ini adalah kali pertama saya membina rangka kerja AI saya tersendiri, jadi saya akan mengambil sedikit masa untuk mempelajari bagaimana untuk melakukannya, dan saya akan cuba ulaskan pengalaman saya melakukannya dalam ulasan penuh kelak.
Dengan platform cip NVIDIA RTX Spark N1X ini, mereka juga mengatakan bahawa ia mempunyai kemampuan mengolah grafik permain setanding sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070, kerana ia mempunyai jumlah teras CUDA yang sama. Saya juga akan mencuba beberapa permainan yang disokong pada platform ini, dan lihat sama ada tuntutan tersebut adalah benar.
Dari segi luaran, ASUS ProArt P14 kelihatan seperti banyak komputer riba lain di pasaran sekarang. Walaupun begitu, dengan tanda harga RM29,999, satu-satunya sebab mengapa anda akan mahu membeli komputer riba ini adalah untuk memudahkan proses pembangunan perisian dan perkhidmatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan tanpa perlu risau mengenai yuran ataupun langganan perkhidmatan AI awanan.

Saya akan mencuba komputer riba ini untuk beberapa minggu akan datang, dan dalam ulasan penuh, akan cuba untuk lihat dan alami sendiri siapakah yang boleh memanfaatkan komputer riba ini sebaik yang mungkin.