by Oh! Semput

Kuching: Ibu maut manakala anaknya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan FAC Matang dekat Simpang Empat Telaga Air, di sini, semalam.
Difahamkan, tragedi itu berlaku selepas wanita yang ditemani anak lelakinya terbabit pulang daripada mengambil buku sekolah untuk seorang lagi anaknya sebagai persiapan untuk sesi persekolahan.
Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Habibah Abi, 43, dari Kampung Matang Batu 10, di sini.
Menurutnya, kejadian berlaku 11.15 pagi apabila mangsa yang membonceng motosikal bersama anak lelakinya, Mohammad Shapiee Johari, 19, bergerak dari arah Telaga Ai menuju ke arah Jalan Matang Lama di sini.
“Motosikal mereka dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu lelaki berusia 24 tahun.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, untuk tindakan lanjut, manakala Mohammad Shapiee yang parah di bahagian badan turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Category: Semasa