by Oh! Semput
BENTONG: Usaha sedang dilaksanakan bagi meletakkan Kampung Janda Baik, di sini yang kini berstatus kampung tradisi di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Usaha berkenaan dirancang dilaksanakan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Janda Baik dalam menjadikan pentadbiran penempatan itu lebih tersusun.
Kampung Janda Baik ketika ini terletak di bawah Pejabat Daerah Bentong, manakala pengurusan aspek pungutan sampah diuruskan sendiri jawatankuasa penduduk.
Ahli Parlimen Bentong, Young Shefura Othman, berkata usaha meletakkan kawasan itu di bawah PBT belum dapat dimuktamadkan berikutan beberapa isu sensitif membabitkan pengambilan tanah serta pelebaran jalan dan sungai yang perlu diselesaikan.
Katanya, proses itu sudah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu, namun terhenti beberapa kali susulan sukar mendapat persetujuan majoriti penduduk dan pihak berkaitan, terutama mengenai pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan infrastruktur.
"RKK Janda Baik memerlukan perbincangan lanjut kerana kawasan berkenaan bukan sahaja sebuah kampung tradisi, malah turut berkembang sebagai destinasi pelancongan yang menempatkan banyak chalet, resort dan inap desa.
"Apabila satu RKK hendak dibuat, kita perlu melaksanakan pengambilan tanah, pelebaran jalan dan sungai. Isu sensitif seperti itu masih belum dapat capai kata persetujuan dan perlu dibincangkan dengan lebih lanjut lagi.
"Projek RKK Janda Baik sudah dirancang hampir 10 tahun lalu, bermula 2018, namun terhenti ketika COVID-19 dan beberapa tahun lalu, usaha berkenaan dimulakan semula," katanya kepada BH.
Pada masa sama, Young Shefura berkata, proses pemutihan bagi premis chalet dan resort di Janda Baik sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti serta menyelaras status premis yang mungkin melanggar peraturan, termasuk membabitkan rizab sungai dan penggunaan tanah.
Beliau mengakui sebahagian tanah di Janda Baik masih lagi berstatus tanah pertanian, namun dibangunkan bagi projek komersial termasuk resort dan chalet.
Katanya, pemilik chalet dan resort digalakkan tampil beurusan dengan PBT dan Pejabat Tanah bagi mengemukakan dokumen dan mendapatkan semakan status penggunaan tanah masing-masing.
"Proses pemutihan itu sedang berjalan, dikendalikan pihak majlis perbandaran dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pejabat Daerah.
"Langkah itu penting bagi memastikan status premis dan penggunaan tanah lebih teratur, selain memberikan kejelasan kepada pemilik sekiranya berlaku bencana atau isu berkaitan tuntutan dan pampasan," katanya.
Beliau berkata, usaha menempatkan Janda Baik di bawah PBT juga mampu menambah baik pengurusan sampah dan sisa, kawalan pembangunan, penyelenggaraan jalan dan longkang serta kemudahan awam lain.
"Manfaatnya apabila ada bayaran cukai, pembinaan akan lebih terkawal. Sekarang ada yang bina ikut kehendak sendiri, termasuk melanggar rizab sungai atau tidak menukar status tanah dan tidak mendapatkan kebenaran merancang.
"Jika Janda Baik di bawah majlis perbandaran, kutipan sampah pastinya akan lebih teratur dan isu seperti lampu jalan juga boleh diurus dengan lebih baik," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, usaha berkenaan perlu mengambil kira status Janda Baik sebagai kampung tradisi dan destinasi pelancongan supaya pembangunan tidak menjejaskan keaslian kawasan itu.
Katanya, bancian lengkap kawasan dan penduduk Janda Baik juga sudah dilaksanakan, manakala usaha penambahbaikan infrastruktur terus diberi perhatian bagi memenuhi keperluan penduduk serta pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, Young Shefura memaklumkan, kerja menukar sistem perpaipan di Janda Baik dengan peruntukan kira-kira RM10 juta akan mula dilaksanakan tahun hadapan.
Ia, katanya, bagi mengelak insiden paip pecah yang kerap terjadi di kawasan terbabit ekoran keadaan infrastruktur yang sudah uzur. #BeritaHarian