Pasca PAU 2016, Apakah UMNO Semakin Popular?

by Oh! Semput


5
SHARES
67
VIEWS
Posted on 07 Dec 2016 08:00:51

UMNO

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2016 telah pun melabuhkan tirainya pada 3 Disember lalu. Persoalan utama di sini, adakah selepas tamatnya perhimpunan berkenaan populariti UMNO semakin meningkat?

Jika dilihat perhimpunan kali ini sarat dengan pelbagai isu khususnya persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pelbagai pandangan serta buah fikiran diberikan oleh perwakilan yang berbahas.

Tidak ketinggalan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta seluruh ahli parti keramat orang Melayu itu supaya menyatakan kesetiaan atau walak kepada pemimpin dan UMNO itu sendiri.

20161201_umno_agm_08_620_416_100

Pemimpin serta perwakilan yang hadir dilihat bersemangat dalam membincangkan isu dibangkitkan termasuk isu rakyat. Tetapi persoalannya, adakah semangat itu hanya sekadar satu minggu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sahaja?

Selepas keluar melangkah daripada Dewan Merdeka di PWTC, adakah pimpinan serta para perwakilan yang hadir sudah bersedia untuk berjuang menerusi paluan gendang yang dibunyikan bagi menghadapi PRU-14 akan datang?

Atau semangat itu tertingal di PWTC? Jika tertinggal di PWTC, tiada guna perhimpunan setiap tahun itu diadakan. Hangat berbincang, berbahas tetapi tiada langkah susulan diambil daripadanya.

Sekarang bukan masa untuk bermain lagi, sepatutnya ahli UMNO perlu bangkit bekerja keras bagi meningkatkan populariti parti itu.

Jangan hanya sekadar menjadi popular dalam kalangan pemimpin dan perwakilan UMNO di PWTC sahaja, selepas itu suram seperti biasa.

Gendang perang sudah dipalu. Jadi tunggu apa lagi, bekerja mendekati rakyat, perjelas pelbagai masalah yang berlaku dan beri keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO satu-satunya parti yang dapat membela nasib mereka.

Jadikanlah semangat PAU 2016 untuk setiap pimpinan dan ahli parti bangkit bekerja terutama dalam menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Jadikan UMNO sebagai parti inklusif bukan eksklusif.

Rakyat tidak mahu parti yang hanya pandai melaungkan untuk membela nasib mereka tetapi langsung tiada penyelesaianya. Kesannya, rakyat terus merana.

UMNO perlu mengambil iktibar keputusan PRU-13 lalu. Gendang perang PRU dipalu semasa Perhimpunan Agung UMNO 2012. Ketika itu, perhimpunan membulatkan keazaman dan keyakinan parti untuk mendapat mandat besar dalam PRU.

Ikrar taat setia, doa dan sumpah bergema di Dewan Merdeka. Najib ketika menggulung perbahasan juga percaya majoriti dua pertiga pasti menjadi milik Barisan Nasional (BN) dengan syarat semua anggota UMNO dan parti komponennya sepakat menyokong calon yang dipilih pucuk pimpinan.

Presiden UMNO itu juga percaya pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana tetapi cuma yang dikhuatirkan adalah persengketaan dalam isu pilihan calon.

Lima bulan selepas perhimpunan itu, PRU diadakan dan keputusannya UMNO berjaya menambah kerusi iaitu 88 berbanding PRU sebelum itu pada 2008 sebanyak 79 kerusi. Bagaimanapun secara keseluruhan, BN gagal mengekalkan 140 kerusi yang dimenangi sebelum itu sebaliknya hanya menang 133 kerusi sahaja.

umno

Maknanya, parti komponen gagal mempertahankan apa yang ada. Di mana silapnya? Salah siapa? Adakah kerana calon yang dipilih tidak mendapat sokongan sepenuhnya, parti tidak bekerja atau sabotaj?

Adakah pakatan pembangkang ketika itu benar-benar kuat sehingga mampu mencuri tujuh kerusi?

Sedar dan ambillah ikhtibar. Populariti UMNO perlu ditingkatkan menjelang PRU-14, jika tidak tiada guna gendang perang dipalu dan semangat berjuang berkobar semasa PAU 2016. UMNO perlu popular bukan sahaja dalam kalangan ahlinya tetapi popular di hati rakyat secara keseluruhannya.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts