by Oh! Semput
2 Pelajar pascasiswazah dari universiti swasta tempatan, Ahmad Lutfi Che Hassan (26 tahun) dari Sunway University dan Loh Jia Cheng (26 tahun) dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah terpilih mewakili negara bagi menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.
Program berprestij ini berlangsung dari Jun hingga Ogos 2026.
Loh Jia Cheng yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains Kejuruteraan Kimia dan Ahmad Lutfi dalam pengajian Sarjana Sains Statistik Industri bakal menyertai kira-kira 150 peserta dari seluruh dunia untuk menimba pengalaman langsung dalam bidang fizik zarah, kejuruteraan, dan pengkomputeran.
Sepanjang tempoh itu, kedua-dua pelajar ini akan mengikuti kuliah pakar, bengkel, serta terlibat dalam projek saintifik di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang berkata, penyertaan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam melahirkan bakat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang berdaya saing, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN 2021-2030).
Program tahunan ini dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Akademi Sains Malaysia (ASM).
Sejak dimulakan pada 2012, seramai 29 pelajar Malaysia telah berjaya dihantar ke CERN melalui kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM).
Program ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan dan pengalaman pelajar, tetapi juga membina rangkaian antarabangsa dengan cendekiawan muda dari seluruh dunia.
{suggest}
2 Pelajar Malaysia Terpilih Ikuti Penyelidikan Di CERN, Switzerland WISER.MY.