by Oh! Semput

SEMPORNA: Struktur bangunan di atas Jeti Pelancongan Semporna yang dalam pembinaan, runtuh dipercayai akibat angin kencang.
Dalam kejadian pada rabu kira-kira 11 malam itu, struktur bangunan yang 60 peratus siap itu hampir tenggelam di laut, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Pegawai Daerah Semporna, Dr Cacho Bullah, berkata runtuhan struktur bangunan itu tidak menjejaskan kehadiran pelancong di jeti berkenaan kerana ia terletak di bahagian lain.
“Aktiviti di jeti berjalan seperti biasa dan tidak memberi sebarang kesan kepada pelancong atau orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, pada khamis.
Difahamkan, struktur bangunan dibina dengan kos RM100,000 yang sepatutnya siap hujung bulan ini, bakal menempatkan pejabat beberapa agensi kerajaan yang terbabit dalam aktiviti pelancongan seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga dan Pasukan Polis Marin (PPM), selain kaunter tiket.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bot Pelancongan Tempatan Semporna, Kerinu Jalani, berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu pada tengah malam rabu, iaitu sejurus selepas kejadian dan meninjau keadaan di lokasi.
“Saya meminta pihak berkuasa menutup jeti ini sepenuhnya sebelum situasi menjadi lebih buruk,” katanya. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.