by Oh! Semput
Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes langgar lari yang mengorbankan seorang penunggang motosikal berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jalan Tun Razak, awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek yang dipercayai memandu sebuah BMW 320i hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada kira-kira jam 6.30 petang sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi ketika mangsa, seorang lelaki berusia 29 tahun, sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC di lorong kiri Jalan Tun Razak. Mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan, menyebabkan beliau tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kuala Lumpur, manakala pemandu kenderaan terbabit dipercayai meninggalkan lokasi tanpa memberikan sebarang bantuan kepada mangsa.
Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah BMW 320i yang dipercayai digunakan ketika kejadian. Polis turut mengesahkan kenderaan itu merupakan kenderaan sambung bayar, namun ia dipercayai dipandu oleh suspek semasa insiden berlaku.
Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan. Hasil ujian alkohol dan saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif.
Polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Pemandu BMW Ditahan Bantu Siasatan Kes Langgar Lari Ragut Nyawa Penunggang Motosikal first appeared on #1 The News Malaysia.