by Oh! Semput

Walaupun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat tepukan gemuruh semasa penampilan bersejarahnya di konvensyen kebangsaan DAP, namun beberapa pemimpin parti itu bimbang ia mungkin membawa kesan sebaliknya, terutama bagi masyarakat Cina di Semenanjung dan masyarakat Kadazan.
Ini disuarakan oleh wakil rakyat DAP, Sim Tong Him dan Chan Foong Hin yang masing-masing berasal dari Melaka dan Sabah.
Sebagai veteran DAP, Sim berpendapat parti itu tidak sepatutnya menjemput Mahathir ke konvensyen berkenaan.
Pesimis terhadap keupayaan Mahathir menarik undi Melayu kepada DAP, beliau mengingatkan bahawa langkah itu sebaliknya mungkin boleh menakutkan pengundi tradisional Cina parti itu, terutamanya disebabkan oleh rasa tidak puas hati berhubung tanggapan terhadap bekas PM itu sewaktu pentadbirannya.
“Saya tidak fikir ianya perlu, ini memberi tanggapan yang kedua-dua pihak menggunakan satu sama lain… Sebanyak manakah beliau (Mahathir) boleh membantu mengurangkan prejudis orang Melayu terhadap DAP?
“Saya rasa, memandangkan BERSATU bukan dalam Pakatan Harapan, maka ia menjadi ganjil jika kita membenarkan Mahathir dan (presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri (Konvensyen DAP),” kata ahli Parlimen Kota Melaka itu.
Sim berkata, parti itu tidak boleh hanya melihat pada manfaat yang dibawa oleh Mahathir, tetapi mengabaikan akibatnya.
“Kita tidak boleh mengambil mudah penyokong Cina bandar. Kita tidak boleh terlalu optimistik, adalah penting untuk menstabilkan asas pengundi tradisional kita. “
Menurut maklum balas yang diterima, beliau berkata kerjasama Mahathir dengan DAP membimbangkan penyokong Cina.
“Ramai yang bimbang tentang Mahathir. Ini mengecewakan mereka dan mereka mungkin jadi pengundi atas pagar. Parti patut beri perhatian terhadap perkara ini.”
Reaksi akar umbi Kadazan
Chan, yang merupakan ADUN Sri Tanjong, mengakui beliau berasa hairan dengan kehadiran bekas perdana menteri itu di konvensyen DAP.
Ini, katanya, adalah kerana DAP tempatan mengekalkan hubungan yang ‘suam-suam’ dengan BERSATU.
Apabila Chan pulang ke negeri di bawah bayu itu, beliau berdepan dengan banyak soalan dari akar umbi tempatan, terutama dari masyarakat Kadazan.
Menurutnya, pemimpin tempatan Kadazan tidak dapat memahami mengapa Mahathir sedang bekerjasama dengan DAP kerana bekas PM itu dilihat sebagai mendalangi projek IC, walaupun mereka percaya dengan ‘kebijaksanaan’ Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
“Di segi rasional, DAP mesti bekerjasama dengan Mahathir. Tetapi orang ini (Mahathir) telah menyakitkan kita sebelum ini terutama bagi masyarakat Kadazan… terima kasih kepada ‘projek’ Dr M,” tambahnya.
Juga dikenali sebagai projek ‘M’ untuk huruf pangkal namanya, Mahathir didakwa terlibat dalam kontroversi Projek IC, yang memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing, kebanyakannya Muslim, dan menjadikan mereka pengundi dan membolehkan penguasaan berterusan Umno Sabah sejak 1994.
Tetapi Mahathir menafikan sebarang pengetahuan mengenai projek seumpama itu.
Menurut Chan, orang Kadazan melihat Mahathir sebagai dalang di sebalik projek IC yang mereka percaya membawa kepada penghakisan kuasa politik masyarakat tersebut.
[Baca berita penuh]
Category: Semasa