by Oh! Semput
Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membincangkan berkaitan hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan guru dan juga apa yang berkaitan dengannya. Ini kerana, hari ini merupakan hari yang begitu bermakna buat para pendidik di seluruh Malaysia kerana pada hari ini bersamaan 16 Mei seluruh rakyat Malaysia akan menyambut hari guru.
Definisi Guru
Perkataan guru atau pendidik di dalam bahasa arab dinamakan al-Mu’allim (المُعَلِّم). Di dalam Lisan al-‘Arab, perkataan al-Mu’allim berasal daripada ilmu (العلم) atau fe’elnya iaitu (عَلِمَ). Ilmu adalah lawan bagi kejahilan dan orang yang berilmu digelar sebagai ulama’. Menurut kamus dewan, guru bermaksud orang yang mengajar, mendidik atau mengasuh. Pendidik atau guru di dalam Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak didiknya. Dalam Islam juga, orang yang paling utama atau bertanggungjawab dalam mendidik adalah ibubapa. Untuk itu, ibubapa adalah pendidik yang utama dan juga yang pertama dalam diri seorang insan itu.
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4805]
وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]
وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 3157]
فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ
Maksudnya: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2609]
أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
Maksudnya: “Ketahuilah ! sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah SWT dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2244]
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236]
وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا
Maksudnya: “Antara adab-adab mereka (guru) adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan mengharapkan rezeki daripadanya”. [Lihat: Adab dunia dan agama, 83]