Pengesahan Akaun Media Sosial Remaja 16 Tahun Wajib Guna MyKad

by Oh! Semput


4
SHARES
49
VIEWS
Posted on 04 Aug 2026 14:00:43

Media sosial tidak lagi boleh dianggap selamat untuk kanak-kanak di bawah umur. Dengan penguatkuasaan Child Protection Code (CPC) sebelum ini, kerajaan bertindak tegas mewajibkan setiap pendaftaran akaun media sosial disertakan dengan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi. Langkah ini diambil kerana risiko terhadap keselamatan generasi muda semakin membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan yang dipetik Bernama menegaskan bahawa umur minimum bagi pendaftaran akaun media sosial ditetapkan pada 16 tahun. Semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan melaksanakan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau sijil lahir.

Pelaksanaan ini dipantau secara langsung oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan setiap platform mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Langkah ini diperkuatkan melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk bertindak terhadap mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial yang ingkar.

Di bawah peruntukan akta tersebut, penyedia perkhidmatan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta. Sekiranya kesalahan berterusan, tambahan denda sebanyak RM100,000 sehari akan dikenakan. Lebih daripada itu, SKMM turut diberi kuasa mengenakan penalti sehingga RM10 juta bagi kes pelanggaran peraturan.

Dalam perkembangan semasa, tindakan penguatkuasaan oleh SKMM bagi tempoh 2022 hingga 2026 jelas memperlihatkan skala ancaman besar terhadap keselamatan digital negara. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 292,102 permintaan untuk memadam kandungan telah dikemukakan dan 96% daripadanya berjaya dilaksanakan.

Bagi iklan tidak sah, sebanyak 20,114 permintaan telah dibuat dan 86% daripadanya berjaya dipadam sepenuhnya. Selain itu, sebanyak 17,418 laman web telah disekat. Daripada jumlah tersebut, 29% dikendalikan oleh SKMM manakala selebihnya dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan lain.

Isu 3R turut menjadi perhatian serius apabila sebanyak 14,169 permintaan untuk memadam kandungan dikemukakan dan 62% daripadanya berjaya dilaksanakan. Dalam tempoh sama, sebanyak 462 kes berkaitan 3R telah disiasat. Daripada jumlah tersebut, 22 kes telah didakwa di mahkamah dengan 16 kes telah selesai manakala 6 kes masih berjalan.

BERNAMA

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts