by Oh! Semput
Sesi penggulungan untuk Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan kembali kepada tradisinya iaitu ucapan penggulungan akan dilakukan oleh pucuk pimpinan utama parti.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu diputuskan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Khas parti yang diadakan malam tadi.
“Tahun ini kita balik kepada tradisi, anggota MT yang berkenaan akan diberi peluang, presiden (Najib) telah memberitahu tadi,” kata Annuar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.
Secara tradisinya, ucapan penggulungan antara lain dilakukan oleh ketua-ketua sayap, wakil anggota MT, wakil kerajaan, naib presiden, timbalan presiden dan presiden parti.
Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden menjelaskan mesyuarat malam tadi adalah mesyuarat biasa yang diadakan sehari sebelum perhimpunan agung hari ini.
Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat MT turut membincangkan mengenai usul-usul yang akan menjadi panduan kepada jurucakap-jurucakap pada perhimpunan agung hari ini.
“Usul-usul yang telah dikumpul sebelum ini Alhamdulillah telah diterima, ini bermakna semua usul yang disediakan boleh dibahaskan oleh perhimpunan agung,” kata Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasausul dan persiapan perhimpunan agung Umno.
– Bernama
Category: Semasa