by Oh! Semput

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan juragan warga tempatan dan 31 warga Indonesia selepas mereka disyaki cuba keluar dari perairan negara ini secara tidak sah.
Pemangku Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Tawau, Leftenan Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari, berkata mereka ditahan di kawasan perairan Sungai Log Pond, dekat sini, jam 7.45 pagi semalam.
“Maritim Malaysia berjaya mengesan bot mencurigakan itu selepas menerima maklumat orang awam kira-kira dua batu nautika dari Sungai Log Pond menuju ke perairan kampung Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot jenis jongkong itu membawa 31 warganegara Indonesia terdiri daripada lelaki dewasa berumur antara 19 dan 46 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Firdaus berkata, pemeriksaan lanjut mendapati juragan adalah rakyat tempatan manakala semua penumpang memiliki pasport tanpa pengesahan keluar daripada Jabatan Imigresen.
Juragan dan semua penumpang serta bot ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam kes berasingan, seorang juragan warga Indonesia ditahan anggota APMM (DM18) Tawau, selepas cuba menyeludup keluar barang kawalan berdekatan perairan Sungai Melayu, dekat sini, Jumaat lalu.
Juragan berumur 43 tahun itu menggunakan bot jongkong untuk menyeludup keluar 100 karton minyak masak 1,700 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4,760.
Bot jongkong terbabit ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 8 malam oleh anggota APMM ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan perairan berkenaan.
“Ketika membuat rondaan, pihak Maritim Malaysia mengesan sebuah bot jongkong yang digunakan oleh juragan terbabit dalam keadaan mencurigakan sedang menuju ke Sungai Melayu dari Tawau.
“Pemeriksaan lanjut mendapati muatan minyak masak berjenama Cap Ros itu tidak mempunyai dokumen kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membawa keluar ke negara jiran,” katanya.