Pensyarah UM Bangunkan Bateri Hibrid Daripada Sisa Nanas Dan Getah Asli

by Oh! Semput


3
SHARES
44
VIEWS
Posted on 06 Nov 2026 11:00:17

Permintaan tenaga global dan krisis iklim memerlukan penyelesaian teknologi hijau yang lebih mampan.

Meskipun sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar berpotensi besar, sifat kekerapannya yang tidak menentu (intermittency) menuntut sistem penyimpanan tenaga yang lebih cekap dan stabil.

Bagi mengatasi cabaran ini, pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Shahid Bashir dari Pusat Lanjutan Khusus Tenaga dan Kuasa Universiti Malaya telah membangunkan teknologi yang dipanggil sebagai Superkapateri, bateri super dengan komponen utamanya terdiri daripada sisa nanas dan getah asli.

Inovasi yang turut melibatkan kerjasama daripada pasukan penyelidik utama yang lain serta rakan kongsi seperti Universiti Princeton, Universiti Sunway, dan ECLIM menawarkan penyelesaian tenaga lestari dengan mengubah kulit nanas kering menjadi karbon keras, manakala getah asli diproses menjadi elektrolit hidrogel yang stabil menjadi bateri super.

Pensyarah UM Bangunkan Bateri Hibrid Daripada Sisa Nanas Dan Getah Asli
Rajah menunjukkan superkapateri yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik Dr Shahid Bashir.

Superkapateriti ialah peranti penyimpanan tenaga hibrid yang inovatif.

Teknologi ini menggabungkan kelebihan ketumpatan tenaga tinggi daripada bateri dengan kuasa pelepasan serta keupayaan pengecasan pantas daripada superkapasitor.

Integrasi ini membolehkan penyimpanan tenaga jangka panjang serta penyaluran kuasa pantas dalam satu sistem.

Dapatan Dr. Shahid menunjukkan, peranti ini mempunyai ketumpatan kuasa yang sangat tinggi, iaitu 60,000 W/kg dan mampu bertahan sehingga 30,000 kitaran sel, serta menawarkan masa pengecasan pantas dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Inovasi yang bersifat terbiodegradasi dan neutral karbon ini bukan sahaja menyingkirkan bahan toksik, malah turut menyamai atau melampaui piawaian keselamatan dan alam sekitar bagi bateri konvensional.

Ini menjadikan inovasi ini sebagai penyelesaian mampan yang ideal untuk kegunaan kenderaan elektrik (EV) dan peranti elektronik mudah alih masa depan.

Pensyarah UM Bangunkan Bateri Hibrid Daripada Sisa Nanas Dan Getah Asli
Ilustrasi menunjukkan brek regeneratif menyalurkan tenaga ke dalam storan ‘supercapattery’, di samping sebuah kereta yang diletakkan sedang memindahkan tenaga tersimpan kembali ke grid melalui V2G.

Apabila diaplikasikan dalam kenderaan elektrik, ‘superkapateri’ mampu mengurangkan pergantungan kepada infrastruktur pengecasan apabila ia membolehkan pengecasan yang lebih pantas, pengurusan tenaga yang cekap, serta ketahanan yang lebih baik.

Teknologi ini juga berupaya menangkap tenaga daripada sistem brek regeneratif dengan berkesan dan menyokong pemindahan tenaga daripada kenderaan ke grid (V2G) di mana lebihan tenaga yang tersimpan disalurkan semula ke dalam grid, sekali gus mewujudkan ekosistem tenaga yang lebih interaktif dan berdaya tahan.

Apa yang menjadikan Superkapateri unik ialah penggunaan kulit nanas kering yang diproses menjadi karbon keras bagi elektrod, manakala getah asli ditukarkan kepada elektrolit hidrogel.

Menukar sisa bernilai rendah ini menjadi bahan karbon berprestasi tinggi bukan sahaja mengurangkan kos pembuatan serta kebergantungan kepada bahan api fosil, malah turut menyokong pengurusan sisa secara lestari.

Pensyarah UM Bangunkan Bateri Hibrid Daripada Sisa Nanas Dan Getah Asli
Pelbagai sumber semula jadi dan sisa pertanian telah diuji.

Superkapateri dilihat mempunyai potensi besar untuk digunakan dalam sektor automotif, peranti perubatan, peranti boleh paka, peranti pintar serta sistem pengurusan tenaga masa depan.

Cabaran kritikal bukan sahaja terletak pada penjanaan tenaga boleh baharu, malah turut merangkumi aspek penyimpanannya secara berkesan bagi memastikan penggunaan jangka panjang.

Inovasi ini diharap dapat menawarkan penyelesaian lestari dalam usaha peralihan daripada sistem konvensional berasaskan bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu dengan lebih pantas dan cekap dengan memanfaatkan sisa pertanian tempatan sebagai komponen utama untuk ditransformasikan menjadi teknologi penyimpanan tenaga berprestasi tinggi yang lebih hijau dan lestari.

{suggest}

Pensyarah UM Bangunkan Bateri Hibrid Daripada Sisa Nanas Dan Getah Asli WISER.MY.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts