by Oh! Semput
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Badan pendesak Melayu menggesa kerajaan memperkenalkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani Kristianisasi.
Seorang pemimpin Perkasa mendakwa akta itu, yang dimansuhkan pada 2011, perlu diwujudkan untuk mengekang gejala itu seperti didakwa oleh Tan Sri Musa Hassan.
Menurut bekas ketua polis itu, tambah Amini Amir Abdullah lagi, Kristianisasi "bukanlah suatu khayalan lagi malah ia kini benar-benar wujud".
Kelmarin, portal Menara.my melaporkan Musa meluahkan rasa kurang senang dengan fenomena tersebut, termasuk dengan membina lebih banyak gereja.
Amini, pengerusi biro hal ehwal Islam badan itu, juga mendakwa paderi Kristian kini "berani memurtadkan orang Melayu Islam secara terang-terangan".
"Kalau dahulu aktiviti pemurtadan dilakukan secara sembunyi-sembunyi, tetapi hari ini ancamannya terhadap umat Islam sudah terserlah ibarat sudah terang lagi bersuluh," katanya dalam satu kenyataan.
"Ancaman Kristianisasi ibarat gunting dalam lipatan yang membahayakan akidah umat Uslam dan anak cucu kita."
Beliau juga menggesa pihak berwajiba mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana "sekarang kelihatan begitu sepi dan sunyi."
"Tujuan tangkapan bukanlah untuk menghukum semata-mata tetapi yang lebih penting ialah mencegah. Kita tidak mahu bila sudah terantuk baru mengadah," katanya.