Perkuatkan Peranan OIC, Wujudkan Semula Sistem Khalifah

by Oh! Semput


HOME Posted on 13 Dec 2016 18:01:05



Sudah sampai masanya, Pertubuhan Kerjasama Negara – Negara Islam atau singkatannya OIC diperkasakan bagi melindungi umat Islam di serata dunia serta mempertahankan maruah agama Islam. Semenjak akhir – akhir ini, umat Islam diserata dunia termasuk Malaysia sering didedahkan dengan pelbagai cerita dan maklumat yang memperlihatkan umat Islam menjadi mangsa kekejaman dan penindasan.

Terbaru, mengenai nasib malang yang menimpa etnik minoriti Rohingya di Myanmar yang menghadapi penindasan dan kezaliman melampau dari kerajaan mereka sendiri yang tidak mengiktiraf kewujudan mereka di negara yang telah mereka duduki buat sekian lama. Ini tidak termasuk konflik berpanjangan yang menimpa masyarakat Palestin. Semenjak wujudnya negara Israel yang dinaungi oleh barat pada tahun 1948, masyarakat Palestin sehingga kini tidak pernah mengenali kehidupan yang aman akibat daripada menjadi mangsa penindasan dan kekejaman rejim Israel yang ingin menghapuskan identiti serta masyarakat Palestin sendiri dari peta dunia.

Aspek penindasan dan kekejaman yang menimpa umat Islam kini bukan sahaja datang dari pemimpin bukan Islam, malah turut datang dari masyarakat Islam sendiri. Kemunculan beberapa buah kumpulan pengganas militan seperti Islamic State (IS), Al – Qaeda, Abu Sayyaf, dan lain – lain lagi turut mensasarkan umat Islam yang tidak mahu mengikut telunjuk fahaman songsang yang dibawa oleh kumpulan – kumpulan berkenaan yang jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam yang menitik beratkan aspek keamanan dan kasih sayang sesama manusia.

Contoh – contoh yang diberikan diatas hanya sedikit berbanding dengan banyak lagi tragedi yang menimpa umat Islam semenjak runtuhnya kerajaan Islamiyyah Uthamniyyah pada tahun 1924 yang lalu. Tragedi peperangan dan konflik di Bosnia, Kosovo, Chechnya, dan beberapa buah negara di benua Afrika jelas menunjukan umat Islam kini berada dalam keadaan yang gawat dan terkapai – kapai untuk hidup. Ini tidak termasuk masalah pengangguran, peluang pendidikan, serta isu kemiskinan yang melanda di kebanyakkan negara – negara Islam pada masa kini.

Sebagai salah sebuah sebuah negara Islam Malaysia telah memainkan beberapa peranan bagi membantu umat Islam seperti usaha pendamaian yang telah dilakukan terhadap krisis Bangsamoro di Mindanoa, Filipina dan puak minoriti Islam di Selatan Thailand. Malaysia juga telah banyak membantu dari aspek sumbangan bantuan ketenteraan menerusi Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) kepada beberapa buah negara Islam buat sekian lama. Pihak kerajaan Malaysia serta rakyat Malaysia sendiri pun amat aktif menghulurkan pelbagai jenis bantuan yang diperlukan oleh kebanyakkan negara – negara Islam yang memerlukan bantuan. Namun, secara realiti, amat sukar untuk Malaysia memberi bantuan diatas segala permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam diserata dunia. Umat Islam juga tidak boleh hanya mengharapkan bantuan serta perlindungan dari Barat serta pertubuhan antarabangsa yang lain yang rata – ratanya dinaungi oleh orang bukan Islam bagi melindungi mereka pada setiap masa.

Oleh itu, adalah penting bagi semua negara Islam untuk bersatu bersama – sama Malaysia membantu masalah yang sedang menimpa umat Islam pada masa kini. Semua ini boleh dilakukan dengan mudah sekiranya pertubuhan OIC yang rata – rata dianggotai oleh majoriti negara – negara Islam dunia bersatu serta berkerjasama untuk membantu umat Islam yang memerlukan bantuan. Bagi menjayakan segala usaha murni ini, pertubuhan OIC yang telah ditubuhkan pada tahun 1969 yang lalu perlu aktif memainkan peranan mereka. Pertubuhan OIC tidak boleh lagi dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang hanya suka duduk berbincang serta mengeluarkan kenyataan terhadap sesuatu isu.

Pertubuhan OIC perlu diperkuatkan supaya setiap kenyataan yang dikeluarkan olehnya dilaksanakan dan digerakkan bagi membantu umat Islam yang memerlukan bantuan. Pertubuhan OIC perlu melihat kembali peranan yang sepatutnya mereka jalankan iaitu untuk melindungi umat Islam serta memperahankan maruah agama Islam. Bagi menjayakan peranan ini, stuktur pentadbiran dan agensi – agensi perlaksana yang ada dibawah pertubuhan OIC perlu dinilai semula bagi memberi ruang kepada OIC untuk bergerak dengan lebih aktif lagi. Antara langkah yang boleh diambil oleh OIC ialah dengan menubuhkan angkatan tenteranya sendiri, mewujudkan majlis keselamatannya sendiri, mewujudkan pelbagai jenis agensi – agensi yang boleh memberi fokus terhadap isu – isu yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan umat Islam, dan lain – lain lagi.

Tidak dapat dinafikan kestabilan masyarakat Islam serata dunia bergantung pada pemimpin yang boleh menjadi rujukan serta panduan. Semenjak 1,400 tahun yang lalu, umat Islam telah dinaungi oleh pemimpin yang digelar sebagai “Khalifah”. Semenjak pemansuhan sistem khalifah, umat Islam berada dalam keadaan huru – hara tanpa panduan. Persoalan kini harus ditanya, bagaimanakah kita boleh mengembalikan sistem khalifah yang sudah hampir 100 tahun dimansuhkan? Kita tidak boleh lagi mengunakan cara peperangan, pembesaran wilayah dan kemudiannya mengangkat mana – mana individu sebagai khalifah serta mengekalkan individu berkenaan sebagai khalifah berdasarkan darah keturunannya seperti yang telah dilakukan melalui kerajaan – kerajaan Islamiyyah dahulu kala.

Antara cara yang boleh digunakan ialah melalui pertubuhan OIC sedia ada. Seperti yang sedia maklum, pertubuhan OIC sudahpun mempunyai hampir 60 negara – negara anggota Islam. Kesatuan umat Islam dari serata dunia boleh dilihat sudah hampir wujud melalui pertubuhan OIC berkenaan. Melalui pertubuhan OIC, pemilihan boleh dilakukan dikalangan negara – negara anggota bagi memilih seorang pemimpin yang sesuai oleh memegang gelaran khalifah terbabit. Sudah sampai masanya umat Islam melalui pertubuhan OIC mencari satu pemimpin yang boleh menjalan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang khalifah yang boleh melindungi umat Islam serta mempertahankan maruah agama Islam dari terus dicemari. Salam Maulidur Rasul.

photo_muzaffar-syah-mallow-6Dr. Muzaffar Syah Mallow adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

's

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...