Perompak Tertinggal Pistol Selepas Rompak Jam Mewah

by Oh! Semput


HOME Posted on 11 Dec 2016 12:09:32



KUALA LUMPUR – Dua lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan sepucuk pistol melarikan beberapa utas jam tangan mewah terpakai dalam rompakan di premis menjual barangan kemas dan jam tangan mewah di sebuah pusat membeli-belah di Kepong, di sini.

Bagaimanapun, dalam kekalutan ketika melarikan diri, mereka tertinggal senjata api yang digunakan mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata rompakan berlaku ketika keadaan lengang kira-kira pukul 3 petang tadi.

“Ketika kejadian itu hanya terdapat seorang juruwang lelaki yang merupakan anak pemilik premis berkenaan. Dia didatangi dua lelaki berpakaian baju T-shirt lengan panjang dan bertopi ketika tiada pelanggan lain di kedai itu.

Seorang daripada mereka mengacukan sepucuk pistol kepada juruwang berkenaan dan mengugut mangsa supaya tidak menjerit,” katanya ketika dihubungi pemberita, malam ini.

Munusamy berkata, mangsa diarahkan supaya membuka almari kaca mengandungi jam tangan mewah terpakai.

Katanya setelah suspek mengambil beberapa utas jam tangan mewah, kedua-duanya melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Mercedes Benz.

Munusamy berkata pihaknya masih menyiasat sama ada senjata api yang ditinggalkan suspek pistol sebenar atau pistol tiruan. – BERNAMA

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...