Persembahan Mantap Akim & The Majistret di DFP

by Oh! Semput


9
SHARES
111
VIEWS
Posted on 24 Feb 2017 02:00:39

akim & the majistret

MEMASUKI usia empat tahun penubuhan dalam industri, tempoh tersebut sudah mencatat pencapaian buat band popular, Akim & The Majistret apabila terpilih beraksi di atas pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini.

Menghidangkan sebanyak 13 buah lagu termasuk medley, tepat pada pukul 8.30 malam, kumpulan yang dianggotai tujuh anak muda itu tidak perlu berceloteh panjang untuk menghiburkan penonton.

Cukup dengan buah dendangan, Patriot dan Terlalu Mudah, mereka mencipta aroma introduksi kemunculan sulung di DFP dengan penuh bergaya.

“Terima kasih kerana anda menyokong karier kami dalam industri tanpa lelah. Secara jujurnya, kami sangat terkejut melihat seisi dewan penuh pada malam ini. Kami sangat menghargainya,” ujar si vokalis, Akim Ahmad membuka perbualan.

Tidak melengahkan masa, Akim terus membawa penonton memasuki segmen kedua dengan menyampaikan empat buah lagu dalam segmen Mengenal Akim & The Majistret. Dimulai dengan lagu popular Akim ketika bergerak solo iaitu Bengang, persembahan diteruskan dengan lagu daripada kumpulan Sofazr, Janjiku, Khatimah Cinta (6ixth Sense) dan Hanya Aku (Hyper Act) sebelum menyampaikan lagu Mewangi yang menjadi salam pengenalan mereka selaku sebuah kumpulan dalam industri.

Lagu Kantonis

“Seperti yang sedia maklum, Akim & The Majistret tertubuh dengan menggunakan khidmat pemuzik daripada band lain iaitu Zimi dan Faoq daripada kumpulan Sofazr, Gjie (6ixth Sense), Beby (Hyper Act) dan Afiez (New Boyz).

“Jadi, malam ini kami bawa anda semua mengimbas kembali perjalanan bagaimana kami bergabung menjadi sebuah band menerusi lagu-lagu ini,” ujar Akim.

Biarpun bermula dengan pilihan lagu yang agak perlahan pada awal persembahan, namun apabila memasuki segmen ketiga, adrenalin penonton kian memuncak dengan lagu berjudul Lygophobia selain Anugerah yang disifatkan Akim sebagai karya didedikasikan khas kepada anak-anak mereka.

Bijak berjenaka di atas pentas, Akim & The Majistret membawa sedikit kelainan apabila membawa sebuah lagu Kantonis berjudul Hoi Fut Tin Hung yang pernah dipopularkan kumpulan rock terkenal Hong Kong, Beyond.

“Muzik kumpulan Beyond banyak mempengaruhi genre yang kami bawa. Walaupun ini kali pertama ia dinyanyikan dalam sebuah persembahan dan harus diakui ada sebutan yang tidak berapa betul, tetapi saya harap peminat dapat menerima dengan baik,” ujar Akim sambil menambah mereka merancang menghasilkan sebuah lagu Kantonis untuk dimasukkan ke dalam album terbaharu tidak lama lagi.

Menghampiri penutup acara, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-30 menerusi lagu Potret itu membawa penonton menelusuri zaman kenangan setiap ahli kumpulan dengan beberapa buah lagu terpilih menerusi segmen medley.

“Salah sebuah lagu yang sering digunakan untuk belajar menyanyi adalah Bunga Melur sebab lagu ini selalu dinyanyikan oleh ayah saya ketika kecil. Malah, lagu ini jugalah yang menerbitkan keinginan saya mahu bergelar penyanyi,” cerita Akim.

Selain Bunga Melur, mereka turut menyampaikan lagu popular Sejarah Mungkin Berulang daripada kumpulan New Boyz, Penantian (Blackrose) dan Kamelia (Sweet Charity).

Segmen tersebut menyaksikan kesemua anggota band berpeluang menyanyi kerana lagu-lagu tersebut mempunyai kaitan dengan sejarah masing-masing ketika mula-mula terlibat dalam dunia muzik.

Tanda aras

Secara kesimpulan, persembahan band yang mula ditubuhkan pada 2014 itu berjalan sempurna meskipun ada beberapa kesilapan kecil seperti kesalahan lirik ketika Akim menyampaikan lagu Hanya Aku daripada kumpulan Hyper Act.

Sesuatu yang tidak perlu disangkal lagi, sentuhan orkestra DFP yang teradun sebati bersama keaslian irama rock permainan Akim & The Majistret mewujudkan keasyikan tiada taranya sepanjang persembahan tersebut. Band anak muda itu langsung tidak kekok bahkan tidak terikat dengan peraturan DFP apabila mengekalkan instrumen muzik mereka dalam corak persembahan.

Untuk sebuah band yang masih setahun jagung dalam industri, mereka selesa beraksi penuh bertenaga selain diselang-seli dengan jenaka menghidupkan wajah persembahan.

Menolak usul ‘sijil kelayakan’ untuk beraksi di atas pentas DFP, Zimi selaku gitaris utama bahkan ketua band ketiga berkata, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu membiarkan perkara tersebut menjadi persoalan yang harus ditangani secara serius. Baginya, apa yang penting adalah peluang untuk bertemu peminat dalam ruang terbaik yang disifatkan eksklusif di pentas tersohor berkenaan.

“Soal kami layak atau tidak untuk beraksi di DFP, ia terpulang kepada pihak pengurusan untuk menilai. Diberi peluang untuk berada di sini pada malam ini sudah menjadi rahmat besar buat kami.

“Misi kami ialah menghiburkan penonton dengan cara sendiri walaupun ia berlangsung di DFP yang terkenal dengan standard tinggi. Kami telah cuba memberanikan diri dengan mengadakan sebuah persembahan santai sesuai dengan imej,” ujarnya.

Jika diberi lagi sebuah peluang, Akim & The Majistret tidak akan menolak untuk mengadakan persembahan berprestij sebagaimana yang dijayakan di DFP.

Bagi mereka, bukan soal nama atau kedudukan yang menjadi tumpuan, sebaliknya menambah pengalaman sebagai penghibur.

“Semoga persembahan pada malam ini akan menjadi kenangan terindah buat peminat. Ia juga salah satu tanda terima kasih buat mereka yang sentiasa menyokong perjalanan kami. Masih jauh kembara kami dalam industri,” katanya Zimi.

Cahaya mata

Beralih ke sisi Akim yang baru sahaja bergelar bapa selepas isterinya, Stacy selamat melahirkan bayi perempuan pada 17 Februari lalu, vokalis berkarakter tersebut memanjatkan rasa syukur atas anugerah dan nikmat bergelar bapa yang baru dikecapi.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kehadiran cahaya mata yang menjadi pelengkap keluarga kami. Anak adalah anugerah terindah kurniaan Tuhan buat semua ibu bapa. Sekarang saya sedang menikmati momen indah itu.

“Walaupun kelahiran bayi sangat dekat dengan tarikh konsert tetapi sekurang-kurangnya ia tidak berlaku pada hari yang sama,” selorohnya.

Meletakkan nama Eshaal yang membawa maksud bunga syurga buat puterinya, Akim, 26, bagaimanapun berkata, nama tersebut belum rasmi memandangkan mereka masih mempunyai masa untuk mendaftar di Jabatan Pendaftran Negara (JPN).

“Insya-Allah, Jumaat ini (hari ini) saya akan ke JPN untuk mendaftar. Kata orang, kalau mahu memberi nama kepada bayi yang baru lahir, ia lebih afdal dilakukan pada hari Jumaat.

“Nama Eshaal akan tetap digunakan tetapi saya dan isteri merancang untuk memberi sedikit tambahan pada namanya,” tutup Akim.

Baca lagi: Akim Ahmad Bakal Nyanyi Lagu Tamil

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts