by Oh! Semput
KERAJAAN Malaysia boleh mempertimbangkan pengunaan pengisytiharan persona non grata (tidak dikehendaki / tidak di alu-alukan) dengan menghalau mana–mana warga asing termasuk golongan diplomat yang mempunyai kekebalan atau imuniti diplomatik antarabangsa yang dilihat masih berkeras untuk memburuk–burukkan nama Malaysia serta yang dilihat untuk campur tangan terhadap undang–undang dalaman negara kita.
Pertimbangan terbabit diberi berdasarkan perkembangan semasa khusus berkaitan dengan peristiwa pembunuhan Kim Jong Nam abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada 13 Februari yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Pada 13 Februari yang lalu, mangsa yang disyaki adalah Kim Jong Nam berada di KLIA2 sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.
Mangsa kemudian telah dikejarkan ke hospital yang berhampiran untuk menerima rawatan lanjut namun telah meninggal dunia.
Dikala pihak berkuasa tempatan sedang giat melakukan siasatan terhadap peristiwa terbabit, namun ia sedikit sebanyak telah diganggu oleh beberapa kenyataan yang dilihat keras terhadap Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan Korea Utara di Malaysia sehingga menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa memangil pulang duta besarnya di Pyongyang Isnin yang lalu.
Baru–baru ini Duta Besar Korea Utara Kang Chol dalam sidang akhbar yang memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai “sesuatu untuk disembunyikan” serta dan mendakwa Malaysia “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa–kuasa luar” dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara yang disyaki Kim Jong Nam.
Walaupun pihak berkuasa sedang giat melakukan siasatan mengenai isu berkenaan, ia jelas menunjukkan satu tindakan jenayah telah berlaku di bumi Malaysia oleh itu kerajaan Malaysia khususnya pihak berkuasa perlu mengunakan segala bentuk proses undang–undang yang ada di Malaysia untuk melakukan siasatan dengan terperinci.
Proses terbabit bukan sahaja terpakai di Malaysia, hampir semua negara dunia akan mengambil langkah yang sama sekiranya kegiatan jenayah berlaku di negara Malaysia termasuk Korea Utara sendiri.
Proses siasatan perlu dilakukan berdasarkan segala bukti–bukti yang menunjukkan terdapat elemen jenayah di dalam kes pembunuhan berkenaan.
Semua negara termasuk Korea Utara perlu menghormati tatacara serta proses perundangan Malaysia.
Sekiranya keadaan menjadi bertambah buruk, penggunaan langkah terakhir persona non grata seperti yang telah dicadangkan boleh diambil terhadap mana–mana pihak warga asing yang berterusan mengganggu perjalanan proses keadilan di Malaysia.
Pengunaan persona non grata terbabit juga jelas termaktub di bawah Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 (Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961).
Malaysia serta Korea Utara adalah anggota kepada Konvensyen antarabangsa terbabit buat sekian lama.
Artikel 41 dan 42 Konvensyen Vienna terbabit juga jelas memperuntukkan semua anggota diplomat perlu menghormati undang–undang negara yang mereka duduki serta tidak mencampuri urusan dalaman negara yang mereka duduki.
Penggunaan persona non grata bukan sesuatu perkara yang baru dalam dunia diplomatik antarabangsa.
Duta Malaysia sendiri pun pernah diarah keluar dari Serbia melalui konsep yang sama apabila mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada tahun 2008.
Adalah penting untuk semua warga negara asing menghormati segala polisi serta undang–undang negara yang mereka lawati atau duduki serta tidak campur tangan didalam mana–mana urusan hal ehwal dalaman negara yang mereka lawati atau duduki.