RM2.6 Juta Peruntukan Pembangunan Sekolah, Badan Keagamaan Bukan Islam

by Oh! Semput


HOME Posted on 13 Dec 2016 18:00:24



TAWAU, 13 Dis – Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta untuk pembangunan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di bahagian pantai timur Sabah tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata peruntukan itu adalah termasuk dalam RM31.4 juta dalam Bajet Negeri 2016, untuk menyokong dan membantu segala aktiviti serta keperluan sekolah berkenaan di seluruh Sabah.

“Penyaluran peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap rakyat dan peka dengan pembangunan pendidikan rakyat.

“Sejak tahun 80-an kerajaan negeri telah memberi bantuan kewangan kepada sekolah menengah persendirian Cina, sekolah mubaligh, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tadika cina dan pusat ibadat bukan Islam seperti tokong, gereja, dan kuil,” katanya pada majlis penyampaian kewangan kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di sini, Selasa.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM32 juta untuk tujuan itu semasa membentangkan Bajet Negeri 2017.

Mengulas lanjut, Tawfiq berkata komitmen yang dilaksanakan oleh kerajaan BN demi kebaikan rakyat itu perlu digunakan untuk memantapkan lagi pembangunan sekolah dan badan keagamaan masing-masing.

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah dan badan keagamaan bukan Islam kerana yang lebih penting adalah suasana aman damai dan perpaduan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas Apas menyeru agar seluruh rakyat Sabah tidak termakan hasutan yang ditaburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tersendiri.

“Sebaliknya kita perlu terus memelihara dan mengekalkan semangat perpaduan serta kekitaan yang kita nikmati ketika ini,” katanya. – BERNAMA


LIKE Kami Sekarang
Untuk Terus Mengikuti Berita Pantas

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...