Peruntukan Sebanyak RM8 Juta Untuk Kerja Pemulihan Lombong, Terowong Bawah Tanah Sungai Lembing Bermula Pada Tahun Depan

by Oh! Semput


6
SHARES
73
VIEWS
Posted on 20 Jun 2026 20:01:55

KUANTAN: Lombong pameran pertama negara, terowong bawah tanah Sungai Lembing akan menjalani kerja pembaikan dan pemulihan tahun depan dengan kos sebanyak RM8 juta.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata peruntukan itu disediakan kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dengan proses tender dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, bekas tapak perlombongan yang dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 2013 itu ditutup sementara sejak beberapa tahun lalu atas faktor keselamatan.

"Proses penganugerahan tender akan diselesaikan tahun ini dan kerja pembaikan akan bermula pada 2027. Walaupun terowong itu kekal sebagai antara tarikan utama di Sungai Lembing, kami turut menaik taraf beberapa lagi lokasi tarikan termasuk Pawagam PCCL (Pahang Consolidated Company Ltd), iaitu pawagam pertama di Pantai Timur.

"Pawagam yang kini dilengkapi sistem paparan digital itu dibuka semula selepas sedekad bagi pementasan produksi teater 'Stories of Sungai Lembing'. Pekan bekas perlombongan bijih timah ini sememangnya terkenal dengan pelancongan warisan, dan kami berharap persembahan berkala serta animasi di Pawagam PCCL dapat menarik lebih ramai pengunjung," katanya.

Terdahulu, Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar menghadiri pementasan teater 'Stories of Sungai Lembing' yang menampilkan pelakon veteran Jalaluddin Hassan bersama beberapa penggiat seni dari Kuantan.

Sementara itu, beliau berkata selain pawagam dan muzium Sungai Lembing, pekan berkenaan turut menawarkan pelbagai tarikan lain termasuk jambatan gantung ikonik yang merentasi sungai di pusat bandar, Bukit Panorama yang terkenal dengan pemandangan matahari terbit, perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Mas serta Air Terjun Pelangi yang terkenal dengan fenomena pelangi pada waktu tertentu.

Mengenai usaha mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Sungai Lembing, Shahar berkata beberapa siri perbincangan dan bengkel diadakan bersama Jabatan Warisan Negara.

"Kami sedang dalam proses melengkapkan dokumen yang diperlukan dan berharap dapat memuktamadkannya tahun depan," katanya ketika ditanya mengenai proses permohonan untuk disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia.

Produksi 'Stories of Sungai Lembing' yang menggabungkan elemen teater, muzik dan penceritaan visual adalah kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Sungai Lembing.

Sebanyak empat pementasan akan diadakan sehingga September, bermula pada 13 Jun lalu, diikuti persembahan pada 11 Julai, 15 Ogos dan 12 September. Dua sesi persembahan akan berlangsung setiap hari pada jam 11 pagi dan 3 petang.

Dikenali sebagai 'El Dorado Timur', Sungai Lembing pernah menjadi antara pengeluar utama bijih timah bawah tanah dan menempatkan beberapa terowong perlombongan bawah tanah terbesar serta terdalam di dunia.

Operasi perlombongan dijalankan oleh Pahang Consolidated Company Limited sejak awal 1900-an sehingga syarikat itu menghentikan operasinya pada 1986. Lombong pameran yang dibuka pada 2013 itu pula ditutup pada 2020 atas faktor keselamatan. #beritaharian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts