by Oh! Semput
PETRONAS mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal gas asli cecair (LNG) global menerusi pembangunan PFLNG TIGA, yang merupakan kemudahan LNG terapung berhampiran pantai (nearshore floating LNG) pertama di dunia.
Projek ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat nasional memperluaskan keupayaan pengeluaran LNG serta memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
PFLNG TIGA yang kini sedang dibina di limbungan Samsung Heavy Industries di Geoje, Korea Selatan, ia dijadualkan memulakan operasi pada suku ketiga tahun 2027.
Apabila siap nanti, fasiliti ini akan ditempatkan di Sipitang, Sabah, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan LNG setahun.

Menurut PETRONAS, projek ini melengkapkan portfolio LNG terapung syarikat yang merangkumi operasi di kawasan air cetek, laut dalam dan kini persekitaran berhampiran pantai.
Keupayaan tersebut membolehkan PETRONAS membangunkan sumber gas dengan lebih fleksibel dan cekap, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan LNG kepada pelanggan di seluruh dunia.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli, berkata PFLNG TIGA akan memperkukuh keupayaan syarikat dalam memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah serta menyokong keselamatan tenaga global.
Selain meningkatkan daya tahan rantaian bekalan LNG, projek ini juga dijangka memberi manfaat kepada pembangunan industri gas Malaysia, khususnya di Sabah.
Dalam konteks peralihan tenaga global, LNG dilihat sebagai sumber tenaga yang penting untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan lebih rendah pelepasan karbon berbanding bahan api fosil tradisional.
Pembangunan PFLNG TIGA sekali gus mengukuhkan peranan PETRONAS sebagai pemain utama dalam industri LNG global dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab tenaga serantau.
{suggest}
PETRONAS Bakal Bawa LNG Terapung Berhampiran Pantai Pertama Dunia Ke Sipitang, Sabah WISER.MY.