by Oh! Semput
Pada minggu lepas, kami telah melaporkan tentang ujian Sistem Amaran Awal (Early Warning System) yang dijadualkan akan diuji pada 29 November ini sebelum diperkenalkan secara lebih meluas. Terkini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah memperkenalkan nama sistem tersebut sebagai MySiren.

Sistem MySiren baru sahaja diperkenalkan oleh Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia di perkarangan Parlimen pada hari ini. Sistem ini menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang menghantar amaran terus ke telefon di kawasan terjejas tanpa memerlukan nombor telefon, perkhidmatan SMS atau sambungan internet. Ia beroperasi selagi terdapat sekurang-kurangnya satu rangkaian mudah alih aktif dan dinilai lebih pantas serta tepat berbanding sistem SMS sedia ada.

Sistem ini turut dilengkapi dengan ciri mesra pengguna seperti getaran, audio dan bacaan automatik bagi memastikan golongan kurang upaya (OKU) tidak terlepas maklumat kritikal ketika bencana. Menurut beberapa laporan, sistem MySiren ini telah diuji di bangunan Parlimen pada hari ini sebagai sebahagian daripada ujian awal sistem tersebut.
Menurut kenyataan SKMM lagi, peranti-peranti yang menyokong sistem MySiren ini termasuklah peranti Apple iPhone 11 dan keatas yang menggerakkan sistem operasi iOS 27.2 dan keatas, peranti Android yang menggerakkan sistem operasi Android 12 dan keatas dan peranti Huawei yang menggerakkan sistem operasi EMUI 16 dan keatas.
Datuk Seri Fahmi Fadzil juga mengesahkan bahawa ujian MySiren akan dilaksanakan di seluruh negara pada Ahad ini, 29 November 2026, antara 10.10 dan 10.30 pagi dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima notifikasi MySiren pada tarikh tersebut.