by Oh! Semput
KUALA LUMPUR – Juara bertahan Thailand akan mempertahankan Piala AFF Suzuki 2016 apabila bertemu Indonesia di pentas akhir selepas skuad kendalian Kiatisuk Senamuang membelasah Myanmar 4-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok dalam perlawanan separuh akhir kedua semalam.
Thailand memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi percubaan Sarawut Masuk dan tiga lagi gol dihasilkan Theeraton Bunmatan (minit ke-65) selepas menyempurnakan sepakan penalti sebelum Siroch Chatthong (minit ke-76) dan Chanathip Songkrasin (minit ke-83) menambah dua lagi gol.
Dalam pertemuan separuh akhir pertama Thailand menundukkan Myanmar 2-0 di Yangon dan kedua-dua jaringan tersebut dijaringkan oleh penyerang veteran Teerasil Dangda.
Thailand bakal bertandang ke Stadium Pakansari, Bogor bagi menghadapi Indonesia dalam perlawanan akhir pertama pada 14 Disember dan kemudian melayan kunjungan Indonesia di Stadium Rajamangala tiga hari selepas itu.