by Oh! Semput
Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Pendakwa Raya selaku perayu memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 31 Julai lalu.

Menerusi notis tersebut, pihak pendakwaan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad pada 20 Julai yang membebaskan Zizie Izette di akhir kes pembelaan.
Zizie Izette yang dinamakan sebagai responden sebelum ini berdepan tiga pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Susulan keputusan tersebut, Pendakwa Raya merayu terhadap pembebasan berkenaan dan memohon salinan nota keterangan serta alasan penghakiman mengikut Seksyen 307(5) Kanun Tatacara Jenayah.
Prosiding pengurusan kes rayuan berkenaan dijadualkan berlangsung esok di Mahkamah Tinggi.
Sebelum ini, Rosli membebaskan Zizie Izette selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
Zizie Izette merupakan isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam penghakimannya, Rosli menjelaskan bahawa antara elemen yang perlu dibuktikan dalam pertuduhan bersubahat ialah kesalahan prinsipal itu sendiri.
Dalam kes berkenaan, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa Allahyarham Bung Moktar telah memperoleh rasuah, yang merupakan kesalahan di bawah perenggan 17(a) Akta SPRM.
Bagaimanapun, kes terhadap Bung Moktar berubah selepas beliau meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.
Atas permohonan pihak pendakwaan, mahkamah kemudian memberikan perintah pelepasan dan pembebasan terhadap Allahyarham mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut hakim, susulan perintah tersebut, tiada dapatan bersalah direkodkan terhadap Allahyarham Bung Moktar.
Keadaan itu menyebabkan elemen pembuktian terhadap pertuduhan bersubahat yang dihadapi Zizie Izette turut terjejas.
Rosli turut mengambil kira prinsip undang-undang bahawa apabila pesalah utama dilepas dan dibebaskan, individu yang dituduh bersubahat dalam kesalahan sama tidak boleh disabitkan atas pertuduhan tersebut.
Zizie Izette sebelum ini didakwa dengan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah keseluruhan RM2.8 juta.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad untuk memperoleh suapan tunai berjumlah RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat untuk memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Dia turut didakwa bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang juga didaftarkan atas namanya.
Kini, perhatian tertumpu kepada proses rayuan di Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan mencabar keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Zizie Izette daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Pihak Pendakwaan Buat Rayuan Semula Kes Rasuah, Zizie Izette Bakal Ke Tirai Besi? first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.