Polis Minta 7 Keluarga Daftar Segera Dengan JKM

by Oh! Semput


1
SHARES
16
VIEWS
Posted on 27 Nov 2016 10:01:38

HULU SELANGOR – Pihak polis meminta tujuh keluarga yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah semalam supaya segera mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata setakat ini 128 mangsa daripada 26 keluarga yang ditempatkan di penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah.

Yang lain tinggal di rumah saudara mara masing-masing, katanya.

Kejadian tanah runtuh pada 1 pagi semalam itu menyebabkan 340 individu daripada 64 keluarga terjejas dan mereka telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

“Berdasarkan pemeriksaan, kesemua 64 kediaman terbabit telahpun dikosongkan. Namun tujuh keluarga masih belum berdaftar dengan pihak JKM, kita harap keluarga berkenaan dapat berbuat demikian secepat mungkin bagi memudahkan pelbagai urusan berkaitan termasuk urusan pengagihan bantuan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Katanya setakat ini polis masih lagi mengklasifikasikan kawasan tanah runtuh itu sebagai kawasan larangan Zon Merah.

Orang ramai termasuk penduduk tidak dibenarkan berada di kawasan kejadian yang merangkumi radius seluas 600 meter dengan polis ditempatkan bagi mengawal kediaman yang ditinggalkan.

Mengulas perkembangan terbaharu, Supramanian berkata pihaknya telah berjaya mengeluarkan dua buah kereta dan sebuah motosikal yang tersadai di kawasan runtuhan manakala usaha untuk mengeluarkan lima lagi kereta yang berada di kawasan runtuhan tanah sedang dilakukan.

Beliau berkata lapan taman perumahan di Serendah yang terputus bekalan air berikutan insiden semalam juga akan menerima bekalan air secara berperingkat.

“Antara taman perumahan yang terjejas adalah Taman Anggerik dan Taman Idaman, penyambungan bekalan air akan dibuat secara berperingkat. Buat masa ini, pihak pengurusan sumber air Selangor telah menghantar bekalan air untuk keperluan penduduk berkenaan,” katanya.

Menurutnya pihak Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya kini sedang menganalisa punca tanah runtuh bagi memastikan punca sebenar kejadian.

“Kami berharap dapat laporan penuh dalam masa yang singkat dan kita akan beritahu perkembangan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts