Polis Buru Warga Asing Hayun Paip Besi, Rempuh Gerai Di Taman Sentosa

by Oh! Semput


3
SHARES
44
VIEWS
Posted on 28 Sep 2026 11:30:35

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai warga asing selepas dia didakwa bertindak agresif terhadap seorang pelanggan sebelum memandu secara gopoh dan merempuh meja serta kerusi sebuah warung bubur di Taman Sentosa, Johor Bahru, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.27 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai juruteknik.

Menurut beliau, pengadu ketika itu sedang menikmati makanan di warung berkenaan sebelum didatangi suspek yang turun dari sebuah kereta sambil membawa sebatang paip besi.

Suspek kemudian dipercayai menghayunkan paip besi ke arah pengadu, namun lelaki terbabit sempat mengelak dan tidak dilaporkan mengalami kecederaan.

Keadaan mula reda selepas orang ramai datang untuk meleraikan kejadian. Suspek kemudiannya kembali masuk ke dalam kenderaannya sebelum memandu secara gopoh dan merempuh beberapa meja serta kerusi di kawasan warung tersebut.

Suspek selepas itu terus meninggalkan lokasi menggunakan kenderaan berkenaan. Rakaman kejadian turut tersebar di media sosial, memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu sebelum merempuh peralatan di hadapan warung.

Polis kini giat mengesan suspek dan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti serta keadaan sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman kejadian bersama maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh mencetuskan spekulasi dan salah faham. Identiti serta kewarganegaraan suspek juga masih perlu disahkan melalui siasatan polis.

Polis Buru Warga Asing Hayun Paip Besi, Rempuh Gerai Di Taman Sentosa first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts