by Oh! Semput
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap sebarang aduan berkaitan kandungan berunsur perjudian dalam talian menjelang kempen Piala Dunia 2026 yang bermula Khamis ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, orang ramai digalakkan membuat aduan kepada MCMC sekiranya menemui pautan atau kandungan yang mempromosikan aktiviti judi dalam talian.
“Seperti kita ketahui, judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara kita. Jadi sekiranya pihak MCMC menerima aduan tindakan boleh diambil.”
“Kepada orang awam sekiranya anda melihat pautan atau kandungan yang bersifat judi dalam talian, sila panjangkan aduan kepada pihak MCMC untuk diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Meja Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri, hari ini.
Menurut Fahmi, tindakan sama juga boleh dikenakan terhadap portal perjudian dalam talian yang didapati melanggar undang-undang.
Sebelum ini, laporan media mendedahkan sindiket pertaruhan antarabangsa dan bookie tempatan menggunakan tawaran hadiah wang tunai bernilai jutaan ringgit bagi menarik penyertaan kaki judi sepanjang Piala Dunia 2026.
Aktiviti pertaruhan kini didakwa semakin banyak dijalankan secara digital melalui ejen bookie dan laman web yang berpangkalan di luar negara, berbanding kaedah konvensional yang digunakan sebelum ini.
Perkembangan itu menyebabkan agensi penguat kuasa dalam dan luar negara memberi perhatian terhadap peningkatan aktiviti perjudian bola sepak haram yang semakin bergantung kepada platform digital, rangkaian kewangan rentas sempadan serta penggunaan identiti palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – BERITA HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
SKMM Proaktif, Ambil Tindakan Terhadap Kandungan Judi Dalam Talian Sempena Piala Dunia 2026 first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.