by Oh! Semput
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama-sama Fuziah Salleh yang merupakan ahli Parlimen Kuantan berikrar akan terus mendedahkan dakwaan aktiviti pembalakan haram dan pencerobohan di Pahang secara mingguan.
“Imej satelit bagi setiap daerah di Pahang akan dikongsi dengan orang ramai dari satu minggu ke satu minggu.
“Selain itu, isu-isu kelestarian hutan yang memburukkan nama Malaysia di mata dunia juga akan saya bawakan selagi (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) mendiamkan diri mengenai isu ini,” ujar beliau dalam kenyataanya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai susulan maklum balas Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Abdul Rahim mengenai dakwaan Rafizi dan Fuziah sebelum ini yang disifatkan sebagai tidak berasas.
Dalam maklum balas itu, Abdul Rahman menjelaskan, semakan di lapangan menunjukkan kelapan-lapan Hutam Simpan Kekal (HSK) yang maksudkan adalah Hutan Paya Gambut (Peat Swamp Forest) yang terdapat penerokaan haram yg telah lama berlaku.
Ianya dipantau rapi oleh Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Pahang dan kawasan “gondol” yg dilihat melalui imej satelit/GIS adalah kawasan- kawasan berair Hutan Paya Gambut, kawasan hutan terosot yg ditumbuhi paku-pakis dan lalang serta kawasan penerokaan Orang Asli (OA), katanya.
Semakan di lapangan juga didapati tiada berlakunya pencerobohan baru di kawasan-kawasan tersebut di samping terdapat juga kawasan-kawasan Hutan Tanah Kerajaan (HTK) yang diceroboh dan didiami oleh OA tempatan berhampiran semenjak berpuluh-puluh tahun dulu, menurutnya.
Kawasan ini ditanam dengan tanaman kelapa sawit dan tanaman pertanian lain. Ia juga berdekatan dengan perkampungan OA RPS Runchang dan kawasan ini turut pmerupakan hutan miskin dan terosot, katanya lagi.
“JPN Pahang terus memantau secara rapi kawasan-kawasan ini. Kerajaan Negeri Pahang telah mewartakan kawasan ini sebagai Hutan Simpan Pekan (Tambahan) pada tahun 2007/2008.
“JPSM sebagai agensi kerajaan yang komited melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah mengambil inisiatif utk memulihkan kawasan ini dgn projek penanaman pokok-pokok hutan dari spesies terpilih di kawasan terosot Hutan Paya Gambut,” kata maklum balas itu lagi.
Terdahulu, Rafizi dan Fuziah mendakwa berlakunya pencerobohan ke atas kawasan hutan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) termasuk di dalam kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Najib.
Bagaimanapun, maklum balas oleh Abdul Rahman itu, jelas Rafizi, bercanggah dengan laporan Aidenvironment, sebuah firma perunding antarabangsa yang mengkhususkan kepakaran di dalam bidang kelestarian alam sekitar.
“Antara tahun 2015 dan 2016, Aidenvironment telah menerbitkan dua laporan yang memberi tumpuan kepada pencerobohan yang berlaku secara berleluasa di hutan-hutan simpan kekal Malaysia sehingga menjejaskan kredibiliti Skim Pensijilan Pembalakan Malaysia (MTCS).
“Dalam laporan bertajuk “MTCS Certified Deforestation” bertarikh Oktober 2015, pada mukasurat 36 hingga 52, jelas didedahkan satu persatu bagaimana pencerobohan hutan simpan kekal di Pahang berlaku walaupun ia diaudit dan diwartakan oleh Jabatan Perhutanan Pahang kononnya kawasan itu adalah hutan simpan kekal.
“Laporan itu menamakan 14 kawasan hutan simpan kekal yang dicerobohi terutamanya bagi tujuan perladangan. Kawasan terbabit adalah besar dan menurut laporan melibatkan anggaran keluasan sekitar 30,000 yang tidak mematuhi pensijilan MTCS (bersamaan 75,614 ekar).
“Oleh itu, tidak hairanlah laporan itu tidak pula mengesahkan bahawa pencerobohan hutan bagi tujuan pembalakan haram ini dilakukan oleh Orang Asli seperti yang digambarkan oleh Ketua Pengarah JPSM,” katanya.
Justeru, tambah Rafizi, beliau dan Fuziah membuat keputusan mendedahkan perkara ini agar siasatan besar-besaran dibuat untuk memastikan siapa dalang di belakang pembalakan haram dan pencerobohan bagi tujuan perladangan ini.
Category: Semasa