by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Berbaki seminggu sebelum Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama beroperasi sepenuhnya, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa untuk membuat tinjauan terakhir.
Kunjungan Perdana Menteri dengan menaiki MRT dari stesen Mutiara Damansara ke Pusat Bandar Damansara menerusi laluan Sungai Buloh-Kajang, petang tadi itu turut disertai beberapa rakan atas taliannya yang merangkumi usahawan belia, mahasiswa dan penulis buku.
“MRT bukan saja menambah baik kesalinghubungan kerana kita menyediakan bas pengantara di setiap stesen MRT, malah ia akan melengkapi kemudahan pengangkutan awam sedia ada dan memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang kita impikan.
“Saya tak sabar menanti 16 Disember ini untuk anda semua dapat merasai sendiri masa depan pengangkutan awam negara. Jom Naik MRT!” katanya menerusi blog rasminya, NajibRazak.com, hari ini.
Antara rakan atas talian Najib yang menyertai kunjungan berkenaan adalah Puteri Balqish dan Rosli Abdul Rahman daripada PenMerahdotcom; Ahmad Nazuwan Amran (BeautifulNara); Mohd Nazrinifwat (kurator Twitter @mohon_clash); Mohd Syahir (blogger isu ekonomi) dan Khairul Idzwan Kamarudzaman (blogger pengangkutan awam).
Selain itu, pengasas laman TheVocket, Mohd Fazreen Jasni; aktivis sosial, Kuan Chee Heng; produser klip ringkas di Instagram atau ‘viner’, Lukman Aqid Zulkarnae ; pengacara radio HotFM, Nordin Madian; jurugambar terkenal di Instagram, Hishammudin Hashim atau Abeden Mung; doktor pakar dari Hospital Besar Melaka, Dr Abdul Rahman Abdul Kadir dan Timbalan Naib Yang Dipertua bagi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya, Dersamynee Subramaniam.
Najib berkata pelbagai isu dibincangkan dengan ‘tetamu undangannya’, mencakupi aspek pembangunan negara dan hal ehwal rakyat.
“Sepanjang perjalanan, kami sempat bersembang santai mengenai hala tuju pengangkutan awam negara, terutama kesan dan impak besar yang akan dibawa oleh MRT kepada negara serta lebih penting lagi kepada gaya hidup rakyat semuanya,” katanya.
Category: Semasa