by Oh! Semput
Oleh Kalsom Rahmathulah
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan merangka modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya peringkat prasekolah yang akan diguna pakai tahun depan.
Ketua Pengarah JKJR, Datuk Arifin Che Mat, berkata modul itu bermula dengan ujian perintis dan pihaknya akan memilih beberapa sekolah sebelum diperluaskan ke sekolah lain.
“Modul ini adalah kesinambungan modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga sejak 2007.
“Modul prasekolah ini akan didedahkan kepada aktiviti praktikal supaya murid lebih faham mengenai pengisiannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja dan Penyampaian Penghargaan Kepada Media di Pusat Latihan Memandu Melati, Bukit Minyak di sini, hari ini.
Sementara itu, Arifin berkata, lawatan kerja itu bagi memantau perkembangan program sekolah angkat yang dimulakan tahun ini.
Beliau berkata, program bertujuan menangani isu pelajar bermotosikal tanpa lesen itu dijangka akan dilihat keberkesanannya selepas setahun pelaksanaannya.
“Dua sekolah dari setiap negeri terbabit dalam program berkenaan dan ia dipilih mengikut kawasan sekolah yang berisiko tinggi kemalangan,” katanya.
Category: Semasa