by Oh! Semput
Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Salim, lewat malam Sabtu.
Lebih membimbangkan, pemandu SUV jenis Lexus RX350 berusia 25 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani saringan awal air kencing yang dijalankan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Azari Miskon berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam ketika Lexus berkenaan dalam perjalanan dari arah pusat bandar Sibu menuju ke Salim.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dinaiki dua remaja lelaki.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu pada jam 12.24 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang lagi mangsa yang merupakan pembonceng motosikal dan juga berusia 19 tahun dilaporkan cedera serta sedang menerima rawatan lanjut di hospital yang sama.
Susulan kejadian itu, pemandu Lexus terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine, manakala permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Insiden itu sekali lagi menjadi peringatan mengenai bahaya pemanduan yang dipercayai melibatkan pengaruh dadah, yang bukan sahaja mengancam keselamatan pemandu sendiri tetapi turut mengorbankan pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
Remaja Maut Nahas Di Jalan Salim, Pemandu Lexus Positif Dadah first appeared on #1 The News Malaysia.