by Oh! Semput
SEBAGAI sebuah negara yang paling berpengaruh di rantau Asia Tenggara, Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memainkan peranan aktif serta tegas bagi menghentikan konflik, penindasan serta keganasan ke atas etnik Rohingya di Wilayah Rakhine, Utara Myanmar.
Malaysia dan pimpinan negara ini begitu berani dan lantang menempelak kerajaan Myanmar bagi membela etnik Rohingya yang ditindas di negara itu.
Adakah terdapat negara Islam dan pemimpin negara Islam lain yang berani untuk berbuat demikian?
Komitmen Malaysia memperjuangkan Rohingya sudah terbukti dan pastinya kekal dalam coretan sejarah.
Apa kerajaan Malaysia lakukan bagi membela nasib etnik Rohingya?
Malaysia komited menyumbang RM10 juta dalam bantuan kemanusiaan dan pembangunan untuk etnik Rohingya.
Kerajaan Malaysia juga memberi peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya seramai kira-kira 56,000 di negara ini untuk bekerja secara sah.
Tiada siapa yang boleh mempertikaikan peranan Malaysia dalam memperjuangkan Rohingya.
Adakah Malaysia berhak berbuat demikian iaitu lantang membela nasib etnik Rohingya?
Malaysia berhak membantah penindasan etnik Rohingya kerana kekejaman yang berlaku adalah bertentangan dengan prinsip ASEAN dan nilai-nilai sejagat.
Meskipun Malaysia tidak berhasrat campur tangan dalam urusan negara lain, kekejaman terhadap etnik Rohingya mesti dihentikan serta-merta bagi mengelakkan keadaan lebih teruk dan masalah pelarian melanda rantau ini.
Adakah tindakan itu membuktikan Malaysia tidak menghormati kedaulatan kerajaan Myanmar?
Ini tidak bererti Malaysia tidak menghormati kedaulatan Myanmar tetapi penindasan terhadap etnik Rohingya sudah melangkaui prinsip-prinsip sejagat, bila ada yang dizalimi, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Bermula Perhimpunan Solidariti Bersama Rohingya di Tasik Titiwangsa pada 9 Disember 2016 lalu, dalam jangka masa kurang 2 bulan, perkataan Rohingya yang dinafikan kewujudannya oleh kerajaan Myanmar selama ini, kini bermain di bibir media di seluruh dunia.
Pada program itu, OIC melalui Setiausaha Agungnya, Dr. Yousef A. Al-Othaimeen menyuarakan harapan iaitu nasib Rohingya tidak boleh diabaikan atau dipandang sebelah mata.
Malaysia begitu komited bagi memperjuangkan nasib etnik Rohingya, diharapkan OIC bukan sekadar menyuarakan harapan tetapi bertindak tegas membela penderitaan umat Islam.
Masanya kini telah tiba agar semua negara Islam memberikan harapan masa depan yang lebih baik kepada umat Rohingya.