by Oh! Semput
BENTONG: UMNO Pahang terbuka untuk bekerjasama dengan PAS ataupun mana-mana parti politik lain sekiranya kerjasama itu membawa manfaat dan kepentingan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keterbukaan itu bagaimanapun tidak bermaksud sebarang rundingan antara UMNO dan PAS sudah dimulakan.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik sekiranya ia menjurus kepada kepentingan rakyat Pahang.
“Kita terbuka. Bukan sahaja kepada PAS, kepada mana-mana parti lain pun.
“Belum (berunding). Kita terbuka. Bukan sahaja kepada PAS, kepada mana-mana parti sekalipun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran Usahawan Makmur dan Penyerahan Hasil Transformasi Produk Usahawan di bawah SIRIM Technopreneur Enterprise Program (STEP) Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berhubung kemungkinan kerjasama antara PAS dan UMNO di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sebelum ini, Rosli dilaporkan berkata, PAS Pahang bersedia bertembung dengan parti lain pada PRU16 sekiranya usaha penyatuan parti-parti Melayu tidak mendapat persetujuan.
Mengulas perkara itu, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa UMNO Pahang menolak cadangan kerjasama dengan PAS seperti didakwa pihak tertentu.
Menurutnya, pihak yang membuat dakwaan berkenaan perlu menjelaskan sumber kenyataan tersebut kerana pendirian sedemikian tidak pernah dinyatakan olehnya.
“Tanya dia (Rosli) balik, dia dapat sumber daripada mana? Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan apa-apa. Sebab tumpuan sekarang ini kita buat kerja untuk rakyat. Masa (pilihan raya) walaupun kita tak jauh sangat, tetapi tidak dekat sangat, jadi tumpuan kita kepada kerja,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan negeri pada ketika ini adalah melaksanakan tanggungjawab dan memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, bukannya tertumpu kepada polemik politik. #UtusanMalaysia